Wednesday, December 28, 2011

Jika baik beritahu kawan...

Salam semua,

           Cuti Krismas yang lalu iaitu 25hb Dis 2011, Homestay De Rasi menerima tetamu dari jauh iaitu dari Batu Pahat. Mereka sekeluarga bercuti di Ipoh ini untuk bertemu dengan kawan lama, katanya dulu sama-sama bekerja di Batu Pahat. Kawan lama mereka ini pula rumahnya selang 2 buah sahaja dengan homestay ini. Hendak dijadikan cerita juga, sebelum ini saya telah bersembang-sembang dengan kawan ini. Kawan inilah yang mempromosikan homestay saya ini kepada rakannya di Batu Pahat itu.


            Mereka itu terdiri dari 3 buah keluarga termasuk sebuah keluarga Melayu menginap di homestay ini untuk tempahan semalam. Sebelum ke homestay mereka bersuka-ria dahulu di Lost World Of Tambun, setelah itu mereka terus menuju ke Homestay De Rasi. Jarak perjalanan dari LWOT ke homestay ini adalah lebih kurang 7 km sahaja, lebih kurang 10 minit sahaja telah sampai.


            Bagaikan orang mengantuk dihulurkan bantal, mereka yang keletihan nampaknya begitu gembira sebaik  memasuki homestay, masing-masing terus mencari bilik yang berkenan di hati masing-masing. Sempat juga En. Pek berbual-bual dengan saya, sambil rakan yang lain memerhatikan kami mengisi Surat Perjanjian Homestay De Rasi ini. Bagi saya, biar ada dokumen hitam putih untuk keyakinan semua tetamu homestay dan juga rujukan di masa akan datang.


            Malam itu dengarnya mereka makan di luar. Datang dari jauh dan pastinya ingin mencuba masakan orang Ipoh pula. Kebanyakan tetamu homestay tidak perlukan dapur, kata mereka sampai di Ipoh ini untuk berjalan-jalan dan merasai makanan di sini. Jika ditanya di mana restoran yang best di sini, saya pasti memberi beberapa nama seperti Restoran Nasi Lemak Ayam Kampung, Restoran Tasik Raban, Restoran Sabar Menanti, Restoran Mee Rebus Ramli, Restoran Simpang Tiga dan tidak lupa, Restoran Rapat Setia.





            Sebut-sebut restoran ini, rasa lapar pula perut saya ini. Belum dikira pasar malam pula, teringat saya dengan tetamu orang Macau dahulu. Mereka pergi ke pasar malam Rapat Setia semata-mata mahu mencari durian dan merasai kelazatan raja segala buah itu. Kami yang menetap di sini mungkin tidak terlalu memikirkannya tetapi bagi mereka, inilah masa yang ditunggu-tunggu. Serupa juga dengan kita apabila melancong ke tempat orang, ingin merasai kelainan iaitu perkara atau benda yang tiada di tempat kita.


Sampai di sini dahulu, jumpa lagi.


''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "


 

Thursday, December 15, 2011

Peristiwa Jam 3 pagi

Salam semua,

                Pada 11hb yang lalu, Homestay De Rasi menerima tetamu dari Batu Pahat Johor. Kami, suami isteri mengambil mereka di Tol Ipoh Selatan dan terus membawa mereka ke homestay. Dengan berkonvoi 3 buah kereta, tentunya kami tiada masalah untuk menuju ke homestay kerana dari kawasan tol itu hanya 2 minit sahaja. Dan ini juga keistimewaan kawasan homestay ini, sangat berdekatan dengan kawasan tol, jika mahu keluar ke utara hanya lalu susur keluar sahaja, dan jika mahu ke selatan, hanya keluar ikut pekan Tambun.


                Berbalik kepada tetamu saya ini, sebuah keluarga mahu pulang ke utara dahulu dan kembali semula ke Ipoh. Maka kami lakarkan peta untuk mereka keluar dari Ipoh dan masuk semula ke Ipoh, paling senang ikut papan tanda Lost World Of Tambun. Sebut LWOT, sebenarnya macam-macam ada di sana, tuan/puan bolehlah membawa anak-anak ke sana bila cuti sekolah nanti. Jika berhajat berkunjung ke sini, datanglah awal sedikit, boleh lama berendam dalam air. Kami telah sampai, kalian bila lagi?







                   Kumpulan tetamu ini menempah homestay untuk tempoh semalam. Masuk 11hb Dis dan keluar pada 12hb Dis 2011. Malam itu, lebih kurang pukul 3.30 pagi, seorang kakak yang menginap di situ menelefon saya bertanyakan minyak gamat. Katanya gigi seorang kakak di situ berdarah. Saya yang mamai-mamai mencari minyak gamat, jumpa tetapi malang seribu kali malang tarikh luput (Exp Date) minyak gamat itu ialah pada 31hb Dis 2010. Sudah lewat setahun, otak saya ligat berfikir, jika diberi takut-takut sakit giginya makin mudarat. Saya terangkan semuanya kepada kakak itu dan dia nampaknya memahami situasi saya.

                 Setelah itu kami masih bersms bertanyakan semula keadaan gigi kakak tersebut. Katanya sudah semakin ok, jika masih teruk saya bercadang membawanya ke hospital. Selepas itu mata saya semacam 'kebal', tidak boleh tidur sehingga ke pagi. Tengahari ini kunci homestay diserahkan oleh saudara mereka kepada suami saya tanpa sempat saya melihat kakak yang sakit gigi pagi itu. Terkilan juga rasanya, tetapi doa saya moga kakak itu cepat sembuh dari kesakitannya.

               Begitulah kisah saya bersama tetamu Homestay De Rasi ini, kami suami isteri amat mengalu-alukan kedatangan semua tetamu kami. Kami sedaya upaya memastikan kebersihan, kekemasan dan keselamatan homestay kami ini diyakini oleh tetamu homestay. Terima kasih juga buat tetamu yang begitu memberi kepercayaan dan kerjasama kepada kami selama ini.


Sekian, jumpa lagi.

 

''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "



 

Saturday, December 10, 2011

Tetamu Mengejut..



Salam semua...

            Pada 8hb. Disember yang lalu, dalam anggaran 4.30 petang saya mendapat panggilan telefon menanyakan kekosongan homestay pada malam itu. Saya terus menyatakan bahawa malam itu tiada tempahan tetamu. Pemanggil ini terus menyatakan hasratnya untuk menempah homestay pada malam itu dan saya berterus-terang dengannya yang saya amat keberatan untuk menerima tetamu yang datang 'mengejut' ini. Bincang punya bincang, pujuk demi pujuk dan akhirnya saya mengalah. Hati kecil saya berbisik, demi membantu sesama insan, petang ini masa dia, entah petang bila nanti saya akan meminta bantuan orang lain pula. Moga pada waktu itu ada insan lain pula yang sudi menolong saya yang mungkin dalam kesusahan.


             Dalam pukul 6 petang itu, saya terus ke homestay untuk memasang sarung bantal dan cadar. Semasa 'bersilat-silat' atas katil itu kedengaran tetamu memberi salam di luar homestay. Rasa terhenti sejenak denyutan jantung saya, terus 'melompat' ke ruang tamu homestay dan terus mempersilakan semua tetamu masuk. Alhamdulillah itulah pertemuan pertama saya dengan Pn. Hasnah sekeluarga dan adiknya juga sekeluarga. Mereka ini keletihan mandi-manda di
Lost World Of Tambun, dan esoknya mereka akan bertolak ke Lumut pula.
 

 
 


               Esok paginya dalam pukul 9.00 pagi, mereka bersiap-siap untuk berangkat pulang. Pn. Hasnah memohon bantuan saya untuk membawa adiknya, Pn. Sharmila ke klinik berhampiran untuk membuat pemeriksaan BP (Blood Pressure). Katanya, kepalanya pening dan sakit-sakit, dan doktor juga telah menasihatinya agar setiap hari membuat pemeriksaan BP. Saya telah membawanya ke Klinik Brajan dan setelah itu saya menghantarnya semula ke homestay. Itu sahaja yang mampu saya buat untuk menolongnya dan saya mendoakan agar Pn. Sharmila sihat selalu.

                Begitulah adat menjalankan perkhidmatan homestay ini, saya sentiasa berniat di hati untuk membantu sesama insan. Walaupun penat, saya telan semuanya demi kepuasan tetamu Homestay De Rasi. Bila tetamu melahirkan kegembiraan mereka semasa menginap di sini, maka hilanglah segala penat dan keluh resah jiwa saya. Terima kasih diucapkan dan insyaallah di lain kali kita bertemu lagi.




Sekian.

Wednesday, December 7, 2011

Walau Jauh Beribu Batu....

Salam,

                   Saya mendapat panggilan telefon dari Pn. Zaleha pertengahan bulan Nov yang menanyakan kekosongan homestay pada 5hb-6hb Dis 2011 untuk tempahan semalam. Pn. Zaleha ini dari Gua Musang, Kelantan mencari homestay untuk kegunaan mereka sekeluarga bagi menghadiri majlis konvokesyen adiknya. Setahu saya minggu itu diadakan majlis konvokesyen semua institusi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang berlangsung seminggu di Tanjung Rambutan.


 



          

       Pada ketika ini, kemajuan teknologi maklumat telah banyak membantu kehidupan manusia. Dengan adanya blog Homestay De Rasi ini, Pn. Zaleha telah mendapat maklumat untuk menghubungi saya dan seterusnya memudahkan urusan beliau sekeluarga. Setelah deposit dimasukkan melalui sistem perbankan on-line, saya menyemaknya untuk tujuan pengesahan. Segalanya mudah, cepat dan selamat. 

                 Sampai hari yang dijanjikan, Pn. Zaleha memaklumkan yang beliau telah bertolak dari Gua Musang dan melalui Jalan Gua Musang-Cameron Highlang-Simpang Pulai. Sampai sahaja di Simpang Pulai, saya mencadangkan agar Pn. Zaleha terus masuk ke Plus Highway untuk terus ke Ipoh. Apabila sampai di Tol Ipoh Selatan, kami berjanji agar dia menunggu di situ dan saya akan mengambil mereka untuk dibawa terus ke Homestay De Rasi.

              Dari Tol Ipoh Selatan, lebih kurang 2 minit sahaja mereka telah selamat sampai di homestay. Syukur, alhamdulillah semua urusan dipermudahkan, dengan bantuan teknologi komputer, telefon bimbit dan kemudahan lebuhraya dan tidak lupa kuasa Ilahi. Saya selalu mengingatkan diri sendiri agar memikirkan  homestay ini adalah untuk memberi kemudahan kepada orang ramai, dan bukan sekadar keuntungan wang ringgit sahaja. Wang ringgit akan susut tetapi pertolongan sesama manusia akan dikira di sana nanti...insyaallah.

             Dalam pukul 12.00 tengahari 6hb Dis itu, Pn. Zaleha memaklumkan yang mereka telah bersedia untuk berangkat pulang dan saya mendoakan agar perjalanan mereka lancar dan selamat sampai ke rumah.

Sekian.


 
''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "



Monday, December 5, 2011

Selamat Pengantin Baru Wani

Salam semua,

Cik Wani ini telah menempah homestay pada 2hb hingga 3hb Disember yang lalu untuk kegunaan keluarga suaminya. Tidak saya lupa, dia telah membayar deposit seawal 6 bulan yang lalu iaitu pada 30hb Julai, katanya takut Homestay De Rasi penuh. Maklum sahajalah waktu itu musim cuti persekolahan, banyak diadakan majlis perkahwinan. Insyaalah bagi mereka yang telah membayar deposit, saya akan simpan tarikh itu, dan tuan/puan pastinya senang hati kerana homestay telah siap ditempah.

Cik Wani ini jiran saya juga, hanya selang 6 buah rumah dari rumahnya ke homestay ini, memang cukup senanglah saudara-mara sebelah pengantin lelaki untuk bertanding ke rumah pengantin perempuan. Tidak perlu memikirkan jalan sesak kerana mereka hanya berjalan kaki sahaja.

Saya sekeluarga mengucapkan Selamat Pengantin Baru buat Puan Wani dan suami, semoga berbahagia dan tabah menghadapi alam rumahtangga lagi-lagi mereka ini adalah PJJ (Pasangan Jarak Jauh). Tetapi bagi saya jika PJJ ini lagi bahagia kerana saling rindu-rinduan, bila berjumpa hujung mungkin tidak sempat untuk gaduh-gaduh. Apa pun saya mendoakan agar Wani dan suami ceria-ceria selalu dan lebih indah jika cepat-cepat dikurniakan cahayamata.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih buat Wani dan suami kerana menghantar nasi minyak, lauk-pauk kenduri, bunga telur dan beberapa cenderahati lagi buat saya sekeluarga dan kami amat menghargainya, terima kasih sekali lagi.





Sekian dahulu, jumpa lagi.



''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "


 

Thursday, December 1, 2011

Selamat Pengantin Baru

As Salam semua...

              Pada 26hb Nov yang lalu, anak lelaki En. Kassim telah mengambil kunci homestay dari saya. Mereka menempah Homestay De Rasi untuk memberi kemudahan kepada pihak sebelah lelaki bermalam dan bersiap-siap. Nampaknya ada 5 buah kenderaan semasa kedatangan tetamu saya ini, semuanya plat 'W'. Saya mengalu-alukan kedatangan semua tetamu saya ini dan harapan saya moga mereka selesa dan gembira semasa menginap di homestay ini.





 

                 Majlis perkahwinan anak perempuan En. Kassim pada hari Ahad itu dalam suasana yang meriah. Pada hari itu juga kenalan saya, En Jaafar juga mengadakan majlis perkahwinan anak perempuannya, Izzati.Sebenarnya En. Jaafar juga ingin menempah homestay saya pada 26hb itu tetapi En. Kassim telah 'menang'. Maklumlah waktu ini cuti sekolah, jadi ramailah yang mengambil kesempatan untuk mengadakan majlis perkahwinan.

               Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Pengantin Baru buat kedua-dua pasangan pengantin, anak perempuan En. Kassim dan En. Jaafar. Doa saya moga mereka tabah dan cekal mengharungi kehidupan berumahtangga. Amin..

Sekian dahulu, jumpa lagi di lain kesempatan.


''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "
 

Sunday, November 20, 2011

Moga selamat semuanya...



As Salam semua...

              Hari ini, Ahad 20hb Nov 2011 berlangsungnya majlis perkahwinan anak perempuan Pn Asma dan En. Satar di Halaman Ampang Mewah ini. Meriah betul, khemah-khemah telah siap dipasang sejak hari Khamis lagi. Di surau semalam pula kelihatan beberapa periuk lauk-pauk sedang dimasak. Hari Jumaat itu juga saudara-mara Pn. Asma dan En.Satar telah sampai di Ipoh ini.

              Sempat juga Pn. Asma memaklumkan kepada saya yang pada hari Jumaat itu telah diadakan majlis pertunangan anak perempuan sulungnya. Hanya ucapan Selamat Bertunang dan Selamat Pengantin Baru buat kedua-dua anak Pn. Asma ini, moga kebahagiaan sentiasa mengiringi perjalanan kehidupan kalian.



            
             Sempena majlis pertunangan dan perkahwinan kedua-dua anaknya itu, Pn Asma telah memilih Homestay De Rasi sebagai tempat penginapan buat saudara-maranya dari Kelantan. Pn. Asma telah menempah empat buah homestay di sekitar Ipoh ini, tetapi Homestay De Rasi yang paling hampir dengan rumah Pn. Asma. Jadi sangat mudahlah sekiranya saudara-maranya mahu membersihkan diri, berehat-rehat serta bersiap-siap untuk bertandang ke rumah Pn. Asma pada bila-bila masa.

          Sebenarnya Pn. Asma telah menempah homestay untuk tempoh 2 malam iaitu dari 19hb sehingga 21hb. Nov 2011, tetapi setelah ramai saudara-mara yang datang pada hari Jumaat itu, Pn Asma memohon saya untuk menambah awal satu malam untuk saudara-maranya menginap di homestay ini iaitu pada petang Jumaat 18hb Nov 2011.

         Saya dengan penuh rendah diri membenarkan mereka masuk awal ke homestay, dengan niat hati untuk membantu sesama insan sewaktu mereka dalam kesusahan. Terharu saya melihat gelagat anak-anak saudara perempuan Pn Asma dalam memilih bilik yang paling mereka disukai di homestay ini.




            Apa pun, bagi saya selaku Tuan Rumah sangat mengalu-alukan kehadiran semua tetamu saya ini. Syukur juga kerana mereka menggunakan mesin basuh yang jarang-jarang sangat di'ON'kan itu. Pandai juga mereka membuat ampaian kain-baju di bahagian belakang homestay itu. Semoga mereka selesa dan gembira semasa menginap di Homestay De Rasi ini.

Sekian dahulu, jumpa lagi.



''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "


Friday, November 4, 2011

Rangkuman 3 kumpulan tetamu homestay...

Salam semua...

               Selepas menerima tetamu dari tempahan Cik Loh pada 7hb Okt lalu, Homestay De Rasi mengalu-alukan juga kehadiran semua tetamu dari tempahan En. Cris Ng (8hb Okt -semalam), En. Salleh (28hb Okt - semalam) dan En. Hong Chee Khen (30hb Okt - semalam).

              En. Cris Ng ini sangat ramah orangnya. Dia telah menjadi tetamu homestay ini pada bulan Okt. tahun lepas atas tujuan yang sama juga dengan tahun ini. Tuan/puan nak tahu apa tujuannya menempah homestay ini, dia dan kawan-kawannya akan menyertai pertandingan berbasikal dari Simpang Pulai ke Cameron Highland. Cerita lebih lanjut, tuan/puan boleh layari Kerja Gila.



               Pada 28hb Okt pula, En. Salleh telah menempah homestay ini untuk kegunaan kawan-kawan ibu saudaranya yang bernama Pn. Aziah Binti Abu Bakar. Suami Pn Aziah ini seorang anggota polis yang telah bertukar tempat kerja dari Terengganu ke Batu Gajah. Untuk itu, mereka mengangkut barang-barang dan perabot dengan menggunakan 2 buah lori polis dan sebuah van. Maka parkinglah sebuah van di dalam 'porch' homestay, manakala 2 buah lori polis pula diletakkan dengan selesa di hadapan homestay, bersebelahan padang.

              Saudara-mara En. Hong Chee Khen pula menginap di homestay ini pada 30hb. Okt untuk meraikan majlis perkahwinan En. Hong dan isteri. Saudara-maranya dari Air Tawar, Perak tiba jam 2.00 petang dan terus berehat di homestay menanti majlis bermula 7.00 malam. Walaupun En. Hong menempah homestay untuk tempoh semalam tetapi sauadara-mara tidak tidur di homestay ini. Selepas habis majlis, mereka bersiap-siap dahulu di homestay untuk terus pulang ke Air Tawar.

             Sekian untuk kali ini, kita jumpa di lain keluaran untuk saya ceritakan pengalaman dengan tetamu homestay untuk tempahan bulan Nov dan Dis. 2011 pula.


''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "


Wednesday, October 19, 2011

Tempahan Cik Loh

Salam semua...



               Cik Loh telah menempah homestay semalam iaitu pada 7hb. Okt. (Jumaat) dan keluar pada 8hb. Okt. (Sabtu) untuk saudara-maranya dari Taiping. Mereka berkunjung ke Ipoh ini adalah untuk meraikan perkahwinan kakak Cik Loh yang kedua. Cik Loh mempunyai 6 orang adik-beradik, kesemuanya perempuan dan dia adalah anak ketiga.

              Sewaktu Cik Loh mengambil kunci homestay pada petang Jumaat itu, sempat juga dia menempah Homestay De Rasi ini pada bulan April 2012 kerana pada waktu itu giliran Cik Loh pula yang akan menamatkan zaman bujangnya.



                      
                      Pada pagi Sabtu itu, Cik Loh memaklumkan bahawa saudara-maranya telah bersedia untuk keluar dari homestay lebih kurang jam 8.45 pagi. Saya terus ke homestay untuk mengambil kunci dan apabila sampai saudara-maranya mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan homestay saya ini.

                      Saya juga ingin memuji tetamu saya ini kerana meninggalkan homestay dalam keadaan kemas dan berbau wangi semerbak bunga kembang pagi. Terima kasih semua.



Sekian dahulu, jumpa lagi.


''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "
 

Monday, October 10, 2011

Tempahan Pn. Ani

As Salam semua...

              

               Sudah hampir seminggu saya tidak men'up-date' blog ini. Alasannya saya sibuk dengan urusan rumahtangga dan baby saya. Siang adalah siang dan malam saya juga adalah siang. Tidur tidak menentu, jam 2 pagi saya sudah terjaga semula melayan baby, rasa sakit badan-badan dan hampir mahu pitam pun ada. Minggu ini saya mula masuk kerja semula setelah berehat 3 bulan, itu yang terkejut satu badan.


           Walaupun begitu hati saya sentiasa berkata-kata untuk menceritakan pengalaman saya bersama semua tetamu Homestay De Rasi ini. Pada 26hb Sept, Pn. Ani membayar wang deposit untuk tempahan homestay pada 30hb Sept. 2011.

             Pn. Ani ini mendapat tahu homestay ini dari Pn. Imah yang telah menempah homestay ini pada 25hb Jun yang lalu. Inilah yang dikatakan 'iklan percuma', hanya ucapan terima kasih untuk Kak Imah yang ramah itu.

             Pn. Ani ini menempah homestay untuk kegunaan saudara-maranya dari Subang bagi meraikan majlis perkahwinan anak sulungnya. Selamat Pengantin Baru, doa saya moga kedua pengantin aman bahagia dan ceria-ceria selalu...amin.
 


Sekian dulu, jumpa lagi.


''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "
 
 
 

Sunday, October 2, 2011

Tempahan Homestay dari Pn. Zohaini

Salam tuan/puan sekalian...

               Setelah Pn. Carol Chong memulangkan kunci homestay pada hari Selasa, 27hb. Sept. 2011, saya dengan segera terus mengemas homestay ini. Semua cadar dan sarung bantal dibuka dan sedia untuk dicuci. Tingkap dan pintu dibuka seluas-luasnya supaya udara dalam dan luar bebas masuk dan keluar dari homestay ini.

                   Antara tugas-tugas wajib dilakukan sebelum tetamu seterusnya masuk homestay adalah seperti menyapu sampah dan habuk dan menggantikan semula cadar dan sarung bantal kepada yang baru.





                Pn. Ani menempah homestay pada 30hb Sept. hingga 1hb Okt. untuk saudara-maranya bagi meraikan majlis perkahwinan anak Pn. Ani. Semoga pasangan pengantin ini sentiasa berbahagia selalu.

Sekian, jumpa lagi.


''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "


Saturday, October 1, 2011

Tempahan Pn Carol Chong

Salam semua...

              Pada 25hb Sept. hingga 27hb. Sept. 2011, Pn Carol Chong telah menempah homestay untuk tempoh 2 malam. Katanya untuk kawan kepada neneknya. Saya telah berjumpa dan bersembang dengan nenek Pn Carol ini. Orangnya sangat ramah, fasih berbahasa Melayu dan begitu 'friendly'. Nenek ini telah beberapa kali menempah homestay saya ini, katanya dekat sangat dengan rumahnya, kemas dan selesa.




              Pn. Carol mengambil kunci pada hari Ahad, 25hb. Sept. 2011 jam 11.00 pagi seusai saya mengemas homestay ini. Pn. Carol terpaksa mengambil kunci homestay lebih awal dari waktu yang ditetapkan iaitu selepas jam 2 petang. Ini adalah disebabkan dia perlu keluar atas urusan peribadinya walaupun tetamu akan sampai lebih kurang jam 1.00 tengahari. Dalam hal ini, bagi pihak saya ianya boleh dirunding demi kebaikan bersama.


            Harapan saya semoga semua tetamu Homestay De Rasi ini selesa dan gembira semasa menginap di sini. Saya juga mendoakan agar saya diberi kesihatan tubuh badan yang baik demi memastikan kelancaran perjalanan homestay ini.

Sekian, jumpa lagi.


''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "

Monday, September 26, 2011

Majlis Perkahwinan Anak En. Cheow

Salam semua..

              Kita sambung lagi cerita Homestay De Rasi. Pada 17hb. September 2011 yang lepas, En. Cheow Kin Ming dari Pekan Razaki telah menempah homestay untuk satu malam. Saya ingin memperkenalkan bahawa En. Cheow ini adalah bapa saudara kepada Miss Choo.

              Miss Choo ini jiran dan kawan saya dari taman sebelah sahaja. Rumah dia dan homestay ini hanya beberapa tapak sahaja, jadi dia hanya berjalan kaki untuk ke Homestay De Rasi ini.

             En. Cheow dan isteri menempah homestay ini untuk saudara-maranya bagi meraikan majlis perkahwinan anak lelakinya, manakala menantu perempuan pula berasal dari Kulim, Kedah. Dengan menempah homestay ini, soal penginapan saudara-maranya telah selesai. Saudara-mara juga selesa untuk tidur-baring, bersembang-sembang tanpa mengganggu rumah pengantin.



                    
                  Syukur saya kepadaNya di atas ketentuan Ilahi ini. Setelah lebih setahun berlalu semasa saya bercadang untuk membuka perkhidmatan homestay ini pun tujuannya adalah untuk memberi kemudahan kepada masyarakat.

                  Ini kerana saya sendiri pernah mengalami saat-saat sukar dan perit bertandang ke suatu tempat dengan keadaan kami bersesak-sesak di dalam sebuah rumah 2 bilik. Doa dan harapan saya moga selepas ini kita diberi kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

Sekian dahulu untuk kali ini, kita jumpa lagi.


''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "

Thursday, September 22, 2011

Selamat Pengantin Baru En. Terence Yoo dan isteri



Salam semua...


               Pada hari Jumaat yang lalu, 16hb. Sept 2011, tiba pula giliran En. Terence Yoo untuk menyewa Homestay De Rasi, Ampang Ipoh bagi tempoh semalam. Dia menyewa homestay ini untuk saudara-maranya bertandang ke Ipoh ini bagi meraikan perkahwinannya. Saya mendoakan semoga En. Terence Yoo dan isterinya berbahagia sepanjang melayari alam rumahtangga ini. Tuan/puan sekalian, En. Terence ini tingal di Kuala Krai, Kelantan manakala ayahnya berasal dari Ipoh ini.

             Tuan/puan sekalian, keluarga En. Terence Yoo ini menyewa sebuah bas untuk membawa saudara-maranya ke lokasi majlis perkahwinanya di Ipoh ini.  Oleh kerana saudara-maranya dari Johor telah sampai awal di Ipoh ini maka dia memohon kebenaran saya untuk mengambil kunci homestay lebih awal dari pukul 2.00 petang. Bagi pihak saya tiada halangan untuk mengambil kunci awal, yang penting tetamu saya selesa dan berpuas hati.

 
 
    
 
 
           Selepas ini, pada 17hb. Sept. 2011, giliran Pn. Choo pula mengambil kunci homestay, juga untuk saudara-maranya meraikan majlis perkahwinan sepupunya di Ipoh Jaya. Saya akan ceritakan perkara ini di' posting' akan datang.





 Jumpa lagi.
 

Thursday, September 15, 2011

Sambutan Aidilfitri 1432 (2011)

As Salam semua...

Belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua tetamu dan bakal tetamu Homestay De Rasi ini. Semoga Aidilfitri kali ini memberi seribu kebahagiaan untuk semua. Tahun ini (2011) saya menyambut Aidilfitri di Melaka, bersama ayah ibu mentua dan ipar-duai saya di sana. Beginilah saya setiap tahun, saya akan mengikut giliran beraya samada di kampung saya, di Kampung Gajah atau di Air Molek, Melaka sebelah suami saya.

Untuk mengelakkan sebarang masalah sepanjang minggu tersebut, Homestay De Rasi memohon 'cuti' seminggu iaitu dari 29hb Ogos hingga 4hb Sept 2011. Untuk memudahkan semua, saya telah menyatakan perkara ini dalam ruangan pengumunan. Walaupun begitu, masih ramai yang bertanyakan tarikh 30hb dan 31hb Ogos itu dan pastinya saya 'mengecewakan' mereka ini.

Tetamu pertama bulan Syawal 1432 ini adalah En. Basaruddin Bin Ali Hassan dari Tmn Pelangi di sini. Beliau menempah homestay ini untuk tempoh semalam iaitu pada 9hb Ogos- 10hb Ogos untuk kegunaan saudara-maranya dari Johor bagi majlis perkahwinan anaknya. Terima kasih Pak Din atas cenderahati yang comel dan sedap itu.




Sekian, jumpa lagi.

Tuesday, July 26, 2011

Meriahnya Majlis Pertunangan Nurul Syahirah Khalid

Salam semua...

Pada 22hb Julai 2011 yang lalu, Homestay De Rasi menerima tempahan dari En. Khalid untuk tempoh penginapan selama semalam. Katanya untuk keluarga bakal besannya dari Kedah, nama pekannya Tebengau. Saya ini baru pertama kali mendengar nama bandar tersebut, nampak sangat saya ini masih kurang pengetahuan tentang nama-nama tempat di Malaysia ini. Mungkin ada juga tuan/puan yang sama dengan saya, contohnya nama Felda Gunung Besout, Sungkai Perak. Mungkin yang pertama kali mendengar nama tempat itu merasakan ia di Besut, Terengganu. Betul tak jangkaan saya ini?

Untuk keterangan lanjut tentang bandar Tebengau ini, tuan/puan bolehlah melayari TEBENGAU. Panjang pula cerita saya tentang nama-nama bandar ini. Apapun saya bagi pihak Tuan Rumah amat berbesar hati menerima semua tetamu dari Tebengau ini. Nampaknya ada 3 buah kenderaan di perkarangan homestay pada pagi Sabtu itu. Tentunya mereka bersiap-siap untuk berangkat ke Simpang Pulai bagi majlis Pertunangan anak bongsu En. Khalid yang bernama Nurul Syahirah Bt Khalid.




Gambar-gambar sekitar majlis pertunangan ini sudah cukup untuk menceritakan segalanya. Ucapan tahniah dari saya untuk adik Nurul, doa saya moga impian dan harapan adik untuk mendirikan rumahtangga yang bahagia akan dimakbulkan oleh Ilahi, amin.


Sekian dulu untuk kali ini, jumpa lagi.

"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"

Tuesday, July 19, 2011

Tempoh Berpantang, homestay tetap berjalan....

Salam semua...






                  Saya ini masih lagi dalam tempoh berpantang, hari ini 19hb Julai 2011 baru masuk 16 hari. Teringat saya dengan pesan bidan kampung semasa berpantang anak sulung dahulu, katanya orang berpantang ini kalau boleh jangan membaca surat khabar dan menonton tv, urat-urat banyak yang sudah putus. Katanya takut urat-urat mata kejang dan nanti cepat rabun. Macamana pula kalau up-date blog?....

                 Saya menerima tetamu, Cik Norli dan rakan-rakan pada hujung minggu lepas untuk tempahan semalam iaitu pada 16hb Julai-17hb Julai 2011. Cik Norli meng'sms' saya untuk bertanya kekosongan homestay pada 3hb Julai 2011 iaitu pada hari saya bersalin anak keempat ini dan saya mohon penangguhan pengesahan sehinggalah saya mendapat 'lampu hijau' dari pembantu saya sepanjang tempoh berpantang.

                Pembantu saya memberikan kepastian dan saya pun menerima tempahan Cik Norli ini. Segala urusan mengemas, mengemop dan menyalin cadar serta sarung bantal semua dilakukannya termasuklah urusan menerima tetamu serta mengambil kunci homestay semula. Pembantu saya ini agak pemalu orangnya, kurang sedikit ramah sembangnya jika dibandingkan dengan saya. Apa pun saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih untuk pembantu saya ini dan minggu depan tolonglah saya lagi yer...hehehee...
           
               Minggu depan, pada 22hb Julai 2011 pula adalah tempahan dari En. Khalid untuk keluarga bakal besannya dari Kedah Darul Aman untuk tempahan semalam. Saya dengan sukacitanya menjemput 'orang jauh' ini menginap di Homestay De Rasi, Taman Rasi Ampang ini, moga ianya memberi satu pengalaman yang indah untuk semua. Saya juga mengharapkan agar homestay ini memberikan ruang keselesaan dan kegembiraan untuk tetamu-tetamunya.

Sekian dahulu, jumpa lagi.


"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"


 

Saturday, July 2, 2011

Tetamuku Selamat Sampai..


As Salam semua,

Dalam pukul 1.20 petang tadi saya mendapat panggilan telefon dari adik ipar Pn. Hafma yang menyatakan mereka telah sampai di STAR dan bertanya arah untuk menuju ke Homestay De Rasi. Saya terus sahaja memberitahu agar belok ke kiri tetapi jangan masuk Taman Cempaka. Setelah melalui Politeknik Ungku Omar, jumpa lampu isyarat yang pertama dan ambil lorong kiri juga serta berhenti di kedai buah. Saya dan suami akan mengambil mereka di kedai buah tersebut.




Betul seperti yang dijanji, mereka sedia menunggu di situ dan saya terus membawa mereka ke homestay. Sampai di homestay bersembang juga kami, dan antara topiknya ialah cara memendekkan lagi perjalanan ke Homestay De Rasi ini. Saya nyatakan kepada mereka selepas keluar dari Tol Ipoh Selatan tadi terus masuk ke kawasan rehat. Setelah itu bolehlah menelefon saya dan dalam tempoh 2 minit sahaja boleh sampai di depan pagar  Homestay De Rasi ini. Tetapai tidak mengapalah, yang penting mereka selamat sampai.

Tetamu saya pada hari ini, Tn. Hj Hussin sekeluarga (bapa mentua Pn. Hafma) dari Bandar Baru Bangi. Esok, Ahad 3hb Julai 2011 mereka mempunyai urusan di kawasan Utara, jika tidak silap saya untuk menghadiri majlis merisik. Walau apa jua urusan mereka selepas ini, saya mendoakan moga segalanya berjalan dengan lancar dan berehatlah mereka semalaman ini di homestay saya itu.

Tengahari tadi juga saya mendapat undangan dari Dato' Hj. Zulkifly dan Datin Hjh. Roiga untuk Majlis Perkahwinan puteranya Ahmad Faisal pada hari Sabtu, 23hb. Julai 2011 nanti. Dato' dan Datin juga berhajat untuk menempah Homestay De Rasi untuk 2 malam iaitu pada 22hb hingga 24hb Julai itu. Saya memohon kepada mereka agar memberi masa kepada saya dahulu sebelum mengambil tempahan mereka kerana sebelum ini, En. Khalid telah bertanyakan tarikh tersebut.

Dan petang tadi segalanya selesai iaitu En. Khalid mengambil tempahan semalam iaitu 22hb Julai 2011 manakala Dato' pula mengambil hari berikutnya pada 23hb Julai 2011. Dan bagi diri saya pula, insyaalah pada tarikh tersebut telah selamat bersalin, tuan/puan doakanlah agar saya mudah dan selamat bersalin untuk kali keempat ini.

Sekian, jumpa lagi.


"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"


 

Monday, June 27, 2011

Peta ke Homestay De Rasi

As Salam dan salam sejahtera semua,

Pada hujung minggu lepas iaitu pada 25hb hingga 26hb Jun 2011 (Sabtu dan Ahad), Pn Rahimah (Kak Imah) telah menempah Homestay De Rasi untuk kegunaan adik-beradiknya dari Johor dan Manjung Perak untuk tempahan semalam. Katanya mereka akan menghadiri majlis perkahwinan sepupunya di Meru. Dengan kedudukan homestay yang berhampiran dengan Lebuhraya Utara-Selatan, maka mudahlah mereka ke Jelapang dan terus ke Meru.

Jika tuan/puan mencari di Google Map pun jelas terpampang yang Homestay De Rasi, Taman Rasi Ampang ini berhampiran dengan Tol Ipoh Selatan. Tuan/puan yang datang dari arah Selatan/KL boleh terus ke Tol Ipoh Selatan ini setelah mengambil lorong KIRI. Ikut sahaja arahan dari PLUS ini,  jika mahu ke IPOH IKUT KIRI dan bayarlah tol di situ. Setelah itu belok ke Pusat Khidmat Pelanggan dan berhenti di kawasan rehat di situ dimana wakaf, tandas dan surau disediakan untuk kemudahan semua. Dari situ, tuan/puan hanya mengambil masa 2 minit sahaja untuk sampai ke pintu pagar homestay.


Bagi bakal tetamu Homestay De Rasi yang berada di Ipoh, kemungkinan besar mereka tiada masalah untuk ke homestay ini. Contohnya En. Hong, beliau berhajat untuk menempah homestay ini pada 29hb Oktober 2011 dan saya mencadangkan beliau melawat sendiri homestay ini walaupun telah melayari Homestay De Rasi. Namun berbeza pula keadaannya dengan Pn Hafma dari Bandar Baru Bangi yang hanya mampu melayari laman blog Homestay De Rasi sebelum mengambil keputusan untuk membuat tempahan.

Walau apa juga keadaannya, saya bagi pihak Tuan Rumah sedaya upaya berusaha untuk menyediakan kemudahan penginapan yang selesa dan bersih untuk semua tetamu saya. Bukan apa tuan/puan sekalian, saya ini sekarang sedang menunggu hari sahaja untuk bersalin anak keempat, jadi segala soal mengemas dan membersihkan persekitaran homestay telah diserahkan kepada insan lain.


Sekian dulu untuk kali ini, jumpa lagi.











Wednesday, June 15, 2011

Tetamuku dari Macau, China

As Salam dan salam sejahtera semua...

Dalam pukul 7.00 malam tadi, En. Chin Yow dari Taman Desa Kebudayaan Gunung Rapat menelefon saya memberitahu bahawa tetamu telah sampai di hadapan homestay. Tetamu homestay saya kali ini hanya 3 orang sahaja iaitu terdiri dari 2 orang perempuan dan seorang lelaki dari Macau. Mereka menempah untuk 2 malam berada di Homestay De Rasi.



Saya dan suami bergegas ke sana dan berkenal-kenalanlah kami. Terasa kelakar juga, kami ini bersembang umpama ayam dan itik. Suami saya tersenyum panjang kala tetamu lelaki beriya-iya bercakap dalam bahasa Cina. Nasib baik ada En. Chin merangkap jurubahasa. Agak saya dia mesti ingatkan suami saya ini orang Cina, Cina sawa matang kulitnya.

Saya membawa tetamu perempuan melawat setiap bilik di bahagian atas dan menerangkan serba sedikit kemudahan yang ada di homestay ini. Setelah itu kami mengisi Perjanjian Penyewaan Homestay De Rasi, Ampang Ipoh Perak dan kata En. Chin mereka mahu ke Pasar Malam Rapat Setia untuk mencari buah durian. Esok pula mereka mahu berjalan-jalan ke Pangkor.

Harapan saya moga mereka selesa dan berpuas hati semasa menginap di Homestay De Rasi dan gembira melawat negara kita, Malaysia.

Sekian, jumpa lagi. 


"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"

Wednesday, June 8, 2011

Majlis Pertunangan

As Salam semua...

Seperti yang telah saya ceritakan sebelum ini iaitu pada 4 dan 5 Jun 2011 yang lalu, keluarga En. Hazeri telah sampai ke Ipoh dan menginap di Homestay De Rasi untuk tempahan semalam. Berjumpalah saya dengan En. Hazeri dan beliau memceritakan bahawa adiknya, seorang guru di Sarawak akan bertunang dengan orang Buntong, Ipoh ini. Insyaallah....majlis perkahwinan pula akan diadakan pada bulan November pula nanti.

En. Hazeri ini antara tetamu saya yang telah membuat tempahan homestay tanpa melihat keadaan dalaman homestay secara 'live'. Katanya, " dah tengok dari luar pun kira ok ler..." dan yang pasti adik beliau telah melayari http://tetamuhomestay.blogspot. com
Terima kasih atas kepercayaan ini dan bagi pihak saya selaku Tuan Rumah, insyaallah saya cuba buat yang terbaik untuk semua tetamu saya, harapan saya moga tetamu berpuas hati dan gembira sepanjang menginap di Homestay De Rasi, Ampang Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

Suka juga saya menwar-warkan kepada semua bakal tetamu Homestay De Rasi, Ampang ini agar membuat tempahan lebih awal sekurang-kurangnya 2 MINGGU @ 14 HARI dari tarikh MASUK (check-in). Berilah peluang untuk saya mengemas dan membersihkan kawasan luar dan dalam homestay demi keselesaan tuan/puan selaku tetamu saya. Hanya tempahan yang telah dipastikan dengan pembayaran deposit sahaja yang akan didahulukan. Harapan saya moga perkara ini mendapat perhatian sewajarnya dari semua bakal tetamu saya.

Sekian untuk kali ini, jumpa lagi.....

Tuesday, May 31, 2011

Walimatul Urus-Undangan Majlis Perkahwinan

As Salam semua,

Homestay De Rasi menerima tetamu dari jauh pada minggu ini, dari 27 Mei hingga 29 Mei 2011 untuk tempahan 2 malam. "Dari jauh itu dari mana ye kak?", dari Melaka Bandaraya Bersejarah, pekan Klebang. Ingat pekan Klebang ini, rasa melecur pula air liur saya. Layarilah KLEBANG

Sebelum itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pn. Norma Binti Ahmad kerana menjemput saya ke Majlis Perkahwinan anak sulung tersayang iaitu Rosshazeela Binti Roslan dengan Risharry Bin Mohd Ramli pada hari Ahad, 29 Mei 2011 di Dewan Cempaka Sari, Silveritage Galleria, Medan Gopeng, Jln. Raja Dr. Nazrin Shah, Ipoh, Perak.

Meriah sungguh majlis itu, temanya biru-putih...sejuk mata memandang dengan pakaian pengantin warna putih bersih. Tahniah untuk Kak Norma sekali lagi mendapat menantu lelaki, lega juga rasa hatinya kerana majlis berjalan dengan lancar dan anak perempuan sudah ada orang yang jaga, katanya tinggal 2 orang lagi.

                                                         Kad Undangan Majlis Perkahwinan

Minggu depan ini pula pada 4 Jun hingga 5 Jun 2011, insyaallah tetamu homestay dari jauh juga. Menurut kata En. Hazeri, keluarganya dari Kelantan. Datang ke Ipoh ini untuk merisik 'bunga' di taman....taman mana yek? mungkin dekat sini sahaja. Tahniah dari saya dan saya juga mendoakan moga ayah ibu dan saudara-mara En. Hazeri selamat dalam perjalanan ke Ipoh, maklumlah sekarang ini setiap petang Ipoh dibasahi dengan hujan. Moga mereka akan selesa menginap di Homestay De Rasi Ampang ini dan saya menunggu kedatangan kalian semua.

Sekian, jumpa lagi.

"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"

Sunday, May 15, 2011

Sambungan...Tikar Terbang

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...

Pagi tadi, lebih kurang jam 8.45 pagi En. Amir Rohaizat menelefon saya memaklumkan yang beliau sekeluarga telah bersedia untuk meninggalkan homestay. Saya yang telah bersedia sedari awal terus ke homestay untuk mengucapkan selamat jalan, moga perjalanan En. Amir sekeluarga selamat sampai ke destinasi yang dituju. Jika berjalan-jalan ke Ipoh ini lagi nanti, singgahlah lagi ke homestay saya ini.

Selepas itu, emak dan ayah saya pula datang untuk 'melawat' Homestay De Rasi. Dulu sewaktu majlis kesyukuran pembukaan homestay ini pada 1 Jun 2010, mereka juga ada datang namun waktu itu keadaan homestay hanya 'biasa-biasa' sahaja. Sekarang ini kemudahan yang disediakan untuk tetamu semakin bertambah dan cukup selesa, kata emak saya..." ini sudah macam rumah sendiri sahaja, ooooo ini ler 'tikar terbang' yong yer"....heheheeee...

Untuk bakal-bakal tetamu homestay ini saya amat menggalakkan mereka 'melawat' dahulu homestay ini untuk menilai sendiri segala kemudahan yang disediakan di sini. Kemudian barulah membuat keputusan untuk membuat tempahan. Namun bagi tetamu saya dari luar kawasan Ipoh mungkin sukar untuk mereka 'melawat' homestay dengan nyata, maka saya mencadangkan kepada mereka supaya 'melawat' homestay ini dengan alamat http://tetamuhomestay.blogspot.com

Sekian, jumpa lagi..

"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"

Saturday, May 14, 2011

Tikar Terbang

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Apa khabar kalian, doa dan harapan saya agar kehidupan tuan/puan sekalian dalam keadaan baik dan sejahtera. Jika kita sihat dan ceria maka berbahagialah kita, jika sebaliknya anggaplah ianya sebagai salah satu cabaran kehidupan. Kita sebagai insan senantiasa diuji samada dari segi kesihatan, kewangan, hal-hal kekeluargaan serta beribu macam masalah dunia...ya!! selagi bernyawa begitulah lumrah kehidupan.

Kali ini saya ingin menunjukkan kepada tuan/puan sekalian yang Homestay De Rasi mempunyai 'Tikar Terbang'....biar betul!!!! Betul tuan/puan sekalian, 'tikar terbang' ini kebanyakannya saya dapatkan dari kedai sebelah depan Giant Ipoh. Harga, biasa-biasa sahaja, yang penting mampu milik. Tetapi demi keselesaan tetamu saya yang mungkin datang dari jauh, berjam-jam duduk dalam kereta/kenderaan saya bentangkan 'tikar terbang' ini.

'Tikar terbang' ini mampu "terbang" ke tingkat atas mahupun ke bawah selagi ianya terletak di dalam homestay.  Di bawah ini adalah gambar-gambar 'tikar terbang' di tingkat bawah, ada lagi 2 helai di tingkat atas...heheheee....jangan marah ya tuan/puan semua, saya ini bergurau sahaja...





Jumpa lagi.....

"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"

Monday, May 2, 2011

Majlis ReUnion

Assalamualaikum dan salam sejahtera....

Kali ini, 30 April hingga 1 Mei 2011, Homestay De Rasi menerima tetamu istimewa, ya...istimewa kerana mereka ini adalah kawan lama saya setelah hampir 23 tahun berlalu. Kami dulu sama-sama bersekolah di SEMJO Tanjong Malim, Perak. Bermula dari tingkatan 1 hingga ke tingkatan 3, dan selepas SRP (sekarang ini dikenali sebagai PMR) mereka ini tergolong insan-insan terpilih untuk melanjutkan pengajian tingkatan 4 dan 5 di SMT Persiaran Brash, Ipoh.

Mereka akan mengadakan RU sesama mereka dan antara 'orang kuat' RU kali ini adalah Cik Norli Binti Mat Noh dan En. Asmadi B. Mohd Ishak. Nampaknya persiapan mereka untuk majlis ini seumpama ingin mengadakan majlis perkahwinan, siap ada berbagai-bagai cenderahati dan t-shirt. Jadi di homestay ini mereka bersiap-siap segala keperluan sebelum bertemu dan berkumpul sesama mereka di dewan sekolah SMT Jln Brash.

Sempat juga saya bersembang-sembang dengan rakan saya, Cik Tun (emmm!!!!!....semakin lawa dan ayu dia ya...), tidak disangka dapat juga mengimbau kenangan lama-lama dahulu. Cepat dan pantas dunia ini berlalu, insyaallah lain kali kita berjumpa lagi. Sebelum terlupa, saya juga mendapat cenderamata, terima kasih banyak-banyak Cik Norli, lain kali singgahlah lagi di sini.

                                                       'Cute' mug ini...sayang hendak dipakai...

Sekian, jumpa lagi.

Sunday, March 13, 2011

Tetamuku...30 orang

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Apa khabar semua, harapan saya moga kalian sihat walafiat dan ceria-ceria selalu. Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan Selamat Pengantin Baru buat Elliani Binti Mohamed Saaid dan suami. Semoga mahligai yang baru dibina ini sentiasa dibajai dengan kasih sayang dan perasaan keinsanan yang mendalam. Hidup berumahtangga banyak dugaannya, maka hadapilah dengan penuh kesabaran.

Saudara-mara sebelah suami Elliani, katanya dari Perlis telah menginap di Homestay De Rasi selama semalam. Dengan menaiki 6 buah kenderaan, mereka berkonvoi ke Ipoh ini dan menjadi tetamu saya. Rasanya bilangan tetamu ini sudah 'pecah rekod', paling ramai dalam sejarah perkhidmatan homestay ini. Apa pun yang penting mereka berpuas hati. Sempat juga tadi saudara suami Elliani 'menemuramah' saya, tanya itu dan ini.

Bayangkan dengan bilangan tetamu 30 orang (dewasa 20 orang dan kanak-kanak 10 orang), macam-macam benda terjadi. Malam tadi, dekat 10.30 malam suami Elliani menelefon saya menyatakan pintu bilik bawah terkunci. Saya yang sedang tidur terasa macam bermimpi bercakap dalam telefon, kena ambil masa sedikit untuk betulkan pemikiran, maklumlah ibu mengandung ini 'pick-up' nya lambat sedikit. Nasib baik juga rumah saya ini dekat, maka masalah dapat diselesaikan dengan cepat.

Sampai sini dahulu, jumpa lagi di lain kesempatan.


 

Tuesday, February 1, 2011

Selamat Tahun Baru Cina

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Tinggal 2 hari lagi masyarakat Cina akan menyambut kedatangan Tahun Baru Cina, saya dengan ini mengucapkan Selamat Tahun Baru buat semua tetamu dan juga bakal tetamu homestay saya terutama dari kaum Cina. Pada 3hb Februari ini juga tetamu saya berbangsa Cina dan mereka menempah untuk menginap di Homestay De Rasi selama 2 malam. Tentunya masa sebegini adalah waktu yang paling gembira untuk mereka sama-sama menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga tersayang.

Sebelum ini, ramai yang menelefon saya bertanyakan tempahan sempena Tahun Baru Cina ini samada dari mereka yang berbangsa Melayu mahupun Cina. Tetapi saya hanya mampu mengucapkan "maaf banyak-banyak kerana waktu itu homestay telah ditempah". Tidak mengapa, mungkin di lain kali mereka ini dipermudahkan dan berkesempatan untuk singgah dan menginap di homestay ini.

Sebelum itu saya juga ingin mengucapkan terima kasih buat En. Syeikh Daud atas jemputan bagi memeriahkan majlis perkahwinan anak perempuannya iaitu Ika. Tahniah juga buat En. Syeikh Daud dan isteri kerana mendapat "pangkat baru", menerima menantu lelaki dan mungkin saat paling gembira nanti bergelar 'Datuk dan Datin'...(hehehe... saya bergurau sahaja.) En. Syeikh menempah Homestay De Rasi untuk 2 malam iaitu pada 21hb hingga 23hb Januari yang lalu.

Sekian untuk kali ini, jumpa lagi.

Friday, January 14, 2011

Selamat Tahun Baru 2011

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...





Hee..heee...agak lambat ucapan saya ini tetapi pada hari ini dan ketika ini baru saya termampu untuk melakukannya. Alhamdulillah, syukur saya kepadaNya kerana kesihatan saya semakin memuaskan. Pada awal minggu ini saya sudah ada selera makan tengahari dan petang, jadi dengan 'semangat waja' dan hati yang berkobar-kobar 'gembira' saya telah ke Klinik Kesihatan Hillcity untuk membuat 'kad merah'. Dan yang paling 'gembira' ialah berat saya telah naik ke 53kg, padahal pada 22 Dis 2010 (tahun lepas) berat saya hanya 46kg. Mungkin saya telah melepasi 'saat-saat genting' dan pastinya kandungan makin membesar dan sihat hendaknya.

Hujung tahun 2010 dan awal 2011, Homestay De Rasi telah mencipta sejarah dalam hari tempahannya. Tempahan paling lama telah dipegang oleh tetamu ini, iaitu Cik Hjh. Mahzam. Mulanya beliau menempah 3 malam sahaja untuk majlis perkahwinan anak Pn. Hjh. Endon tetapi 2 hari sebelum hari itu, beliau bertanyakan kesediaan saya untuk menerima tempahan sehari lebih awal dari yang dijangkakan. Demi tetamu saya yang khabarnya datang dari jauh, iaitu Singapura, jadi saya terima. Bila kata 'terima' dilafazkan, maka jadilah saya 'lipas kudung'. Dan alhamdulillah segalanya selesai dengan selamat.

Tetamu bulan Januari 2011 ini diikuti pula dengan En. Teh Hieng Full untuk tempahan 2 malam iaitu dari 14hb hingga 16hb. untuk keluarganya dari Kedah. Selamat Pengantin Baru buat En. Teh dan isteri, moga berbahagia selamanya. Saya juga mendoakan agar kehidupan En. Teh dan isteri lebih mendapat kebahagiaan dan kemakmuran di masa-masa akan datang.

Sekian, jumpa lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...