Wednesday, December 28, 2011

Jika baik beritahu kawan...

Salam semua,

           Cuti Krismas yang lalu iaitu 25hb Dis 2011, Homestay De Rasi menerima tetamu dari jauh iaitu dari Batu Pahat. Mereka sekeluarga bercuti di Ipoh ini untuk bertemu dengan kawan lama, katanya dulu sama-sama bekerja di Batu Pahat. Kawan lama mereka ini pula rumahnya selang 2 buah sahaja dengan homestay ini. Hendak dijadikan cerita juga, sebelum ini saya telah bersembang-sembang dengan kawan ini. Kawan inilah yang mempromosikan homestay saya ini kepada rakannya di Batu Pahat itu.


            Mereka itu terdiri dari 3 buah keluarga termasuk sebuah keluarga Melayu menginap di homestay ini untuk tempahan semalam. Sebelum ke homestay mereka bersuka-ria dahulu di Lost World Of Tambun, setelah itu mereka terus menuju ke Homestay De Rasi. Jarak perjalanan dari LWOT ke homestay ini adalah lebih kurang 7 km sahaja, lebih kurang 10 minit sahaja telah sampai.


            Bagaikan orang mengantuk dihulurkan bantal, mereka yang keletihan nampaknya begitu gembira sebaik  memasuki homestay, masing-masing terus mencari bilik yang berkenan di hati masing-masing. Sempat juga En. Pek berbual-bual dengan saya, sambil rakan yang lain memerhatikan kami mengisi Surat Perjanjian Homestay De Rasi ini. Bagi saya, biar ada dokumen hitam putih untuk keyakinan semua tetamu homestay dan juga rujukan di masa akan datang.


            Malam itu dengarnya mereka makan di luar. Datang dari jauh dan pastinya ingin mencuba masakan orang Ipoh pula. Kebanyakan tetamu homestay tidak perlukan dapur, kata mereka sampai di Ipoh ini untuk berjalan-jalan dan merasai makanan di sini. Jika ditanya di mana restoran yang best di sini, saya pasti memberi beberapa nama seperti Restoran Nasi Lemak Ayam Kampung, Restoran Tasik Raban, Restoran Sabar Menanti, Restoran Mee Rebus Ramli, Restoran Simpang Tiga dan tidak lupa, Restoran Rapat Setia.





            Sebut-sebut restoran ini, rasa lapar pula perut saya ini. Belum dikira pasar malam pula, teringat saya dengan tetamu orang Macau dahulu. Mereka pergi ke pasar malam Rapat Setia semata-mata mahu mencari durian dan merasai kelazatan raja segala buah itu. Kami yang menetap di sini mungkin tidak terlalu memikirkannya tetapi bagi mereka, inilah masa yang ditunggu-tunggu. Serupa juga dengan kita apabila melancong ke tempat orang, ingin merasai kelainan iaitu perkara atau benda yang tiada di tempat kita.


Sampai di sini dahulu, jumpa lagi.


''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "


 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...