Saturday, December 10, 2011

Tetamu Mengejut..



Salam semua...

            Pada 8hb. Disember yang lalu, dalam anggaran 4.30 petang saya mendapat panggilan telefon menanyakan kekosongan homestay pada malam itu. Saya terus menyatakan bahawa malam itu tiada tempahan tetamu. Pemanggil ini terus menyatakan hasratnya untuk menempah homestay pada malam itu dan saya berterus-terang dengannya yang saya amat keberatan untuk menerima tetamu yang datang 'mengejut' ini. Bincang punya bincang, pujuk demi pujuk dan akhirnya saya mengalah. Hati kecil saya berbisik, demi membantu sesama insan, petang ini masa dia, entah petang bila nanti saya akan meminta bantuan orang lain pula. Moga pada waktu itu ada insan lain pula yang sudi menolong saya yang mungkin dalam kesusahan.


             Dalam pukul 6 petang itu, saya terus ke homestay untuk memasang sarung bantal dan cadar. Semasa 'bersilat-silat' atas katil itu kedengaran tetamu memberi salam di luar homestay. Rasa terhenti sejenak denyutan jantung saya, terus 'melompat' ke ruang tamu homestay dan terus mempersilakan semua tetamu masuk. Alhamdulillah itulah pertemuan pertama saya dengan Pn. Hasnah sekeluarga dan adiknya juga sekeluarga. Mereka ini keletihan mandi-manda di
Lost World Of Tambun, dan esoknya mereka akan bertolak ke Lumut pula.
 

 
 


               Esok paginya dalam pukul 9.00 pagi, mereka bersiap-siap untuk berangkat pulang. Pn. Hasnah memohon bantuan saya untuk membawa adiknya, Pn. Sharmila ke klinik berhampiran untuk membuat pemeriksaan BP (Blood Pressure). Katanya, kepalanya pening dan sakit-sakit, dan doktor juga telah menasihatinya agar setiap hari membuat pemeriksaan BP. Saya telah membawanya ke Klinik Brajan dan setelah itu saya menghantarnya semula ke homestay. Itu sahaja yang mampu saya buat untuk menolongnya dan saya mendoakan agar Pn. Sharmila sihat selalu.

                Begitulah adat menjalankan perkhidmatan homestay ini, saya sentiasa berniat di hati untuk membantu sesama insan. Walaupun penat, saya telan semuanya demi kepuasan tetamu Homestay De Rasi. Bila tetamu melahirkan kegembiraan mereka semasa menginap di sini, maka hilanglah segala penat dan keluh resah jiwa saya. Terima kasih diucapkan dan insyaallah di lain kali kita bertemu lagi.




Sekian.

Wednesday, December 7, 2011

Walau Jauh Beribu Batu....

Salam,

                   Saya mendapat panggilan telefon dari Pn. Zaleha pertengahan bulan Nov yang menanyakan kekosongan homestay pada 5hb-6hb Dis 2011 untuk tempahan semalam. Pn. Zaleha ini dari Gua Musang, Kelantan mencari homestay untuk kegunaan mereka sekeluarga bagi menghadiri majlis konvokesyen adiknya. Setahu saya minggu itu diadakan majlis konvokesyen semua institusi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang berlangsung seminggu di Tanjung Rambutan.


 



          

       Pada ketika ini, kemajuan teknologi maklumat telah banyak membantu kehidupan manusia. Dengan adanya blog Homestay De Rasi ini, Pn. Zaleha telah mendapat maklumat untuk menghubungi saya dan seterusnya memudahkan urusan beliau sekeluarga. Setelah deposit dimasukkan melalui sistem perbankan on-line, saya menyemaknya untuk tujuan pengesahan. Segalanya mudah, cepat dan selamat. 

                 Sampai hari yang dijanjikan, Pn. Zaleha memaklumkan yang beliau telah bertolak dari Gua Musang dan melalui Jalan Gua Musang-Cameron Highlang-Simpang Pulai. Sampai sahaja di Simpang Pulai, saya mencadangkan agar Pn. Zaleha terus masuk ke Plus Highway untuk terus ke Ipoh. Apabila sampai di Tol Ipoh Selatan, kami berjanji agar dia menunggu di situ dan saya akan mengambil mereka untuk dibawa terus ke Homestay De Rasi.

              Dari Tol Ipoh Selatan, lebih kurang 2 minit sahaja mereka telah selamat sampai di homestay. Syukur, alhamdulillah semua urusan dipermudahkan, dengan bantuan teknologi komputer, telefon bimbit dan kemudahan lebuhraya dan tidak lupa kuasa Ilahi. Saya selalu mengingatkan diri sendiri agar memikirkan  homestay ini adalah untuk memberi kemudahan kepada orang ramai, dan bukan sekadar keuntungan wang ringgit sahaja. Wang ringgit akan susut tetapi pertolongan sesama manusia akan dikira di sana nanti...insyaallah.

             Dalam pukul 12.00 tengahari 6hb Dis itu, Pn. Zaleha memaklumkan yang mereka telah bersedia untuk berangkat pulang dan saya mendoakan agar perjalanan mereka lancar dan selamat sampai ke rumah.

Sekian.


 
''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "



Monday, December 5, 2011

Selamat Pengantin Baru Wani

Salam semua,

Cik Wani ini telah menempah homestay pada 2hb hingga 3hb Disember yang lalu untuk kegunaan keluarga suaminya. Tidak saya lupa, dia telah membayar deposit seawal 6 bulan yang lalu iaitu pada 30hb Julai, katanya takut Homestay De Rasi penuh. Maklum sahajalah waktu itu musim cuti persekolahan, banyak diadakan majlis perkahwinan. Insyaalah bagi mereka yang telah membayar deposit, saya akan simpan tarikh itu, dan tuan/puan pastinya senang hati kerana homestay telah siap ditempah.

Cik Wani ini jiran saya juga, hanya selang 6 buah rumah dari rumahnya ke homestay ini, memang cukup senanglah saudara-mara sebelah pengantin lelaki untuk bertanding ke rumah pengantin perempuan. Tidak perlu memikirkan jalan sesak kerana mereka hanya berjalan kaki sahaja.

Saya sekeluarga mengucapkan Selamat Pengantin Baru buat Puan Wani dan suami, semoga berbahagia dan tabah menghadapi alam rumahtangga lagi-lagi mereka ini adalah PJJ (Pasangan Jarak Jauh). Tetapi bagi saya jika PJJ ini lagi bahagia kerana saling rindu-rinduan, bila berjumpa hujung mungkin tidak sempat untuk gaduh-gaduh. Apa pun saya mendoakan agar Wani dan suami ceria-ceria selalu dan lebih indah jika cepat-cepat dikurniakan cahayamata.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih buat Wani dan suami kerana menghantar nasi minyak, lauk-pauk kenduri, bunga telur dan beberapa cenderahati lagi buat saya sekeluarga dan kami amat menghargainya, terima kasih sekali lagi.





Sekian dahulu, jumpa lagi.



''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "


 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...