Thursday, September 27, 2012

Rekod Tempahan...6 Malam






As Salam dan salam sejahtera semua...


Berjumpa lagi kita di sini, coretan kisah pertemuan saya dengan semua tetamu Homestay De Rasi, Taman Rasi Ampang, Ipoh Perak. Setiap pertemuan pastinya akan diakhiri dengan perpisahan, maka hargailah setiap detik ketika sesi pertemuan itu. Ini kerana selepas perpisahan itu hanya tinggal kenangan sahaja sewaktu bersama, jika diizinkanNya insyaallah akan bertemu semula di masa yang lain pula.


Begitulah juga kisahnya dengan tetamu saya kali ini. Sebelum ini beliau telah datang ke Homestay De Rasi sewaktu saudara-maranya dari Macau datang ke Malaysia dahulu. Kali ini pula tempahan dari En. Choong Kee Wong untuk kegunaan keluarga anak lelakinya yang menetap di Australia. Besan En. Choong ini adalah campuran Cina dan Inggeris. Mereka ini,  ibu (Cina) dan ayah mentua (Inggeris) peramah orangnya. Mereka hanya berbahasa Cina dan Inggeris sahaja. 


En. Choong menempah homestay untuk tempoh 6 malam iaitu dari 17 hingga 23 September 2012 untuk tetamu seramai 10 orang dari Australia itu. Kedatangan tetamu ini adalah untuk meraikan majlis perkahwinan anak En. Choong di Taman Desa Kebudayaan dekat sini. Mereka sampai di KLIA anggaran 6 pagi dan En. Choong mengambil mereka dan terus dibawa ke homestay untuk berehat. 








Dengan menyewa sebuah van pelancong, mereka selamat sampai di perkarangan Homestay  De Rasi anggaran jam 11.15 pagi dan saya telah bersedia menunggu kedatangan mereka. Lagak seperti pemandu pelancong, saya terus menunjukkan kepada mereka kemudahan-kemudahan yang terdapat di homestay ini. Sementara itu suami saya bersembang-sembang dengan En. Choong dan rakan beliau (pemandu van). 


Selepas memasukkan beg-beg yang berat belaka, mereka terus bersiap untuk keluar semula untuk makan tengahari. Saya tertarik dengan cucu lelaki En. Choong yang sangat comel itu, usianya anggaran 4 tahun. Pipinya kemerahan dan matanya sepet, hasil perkahwinan campur antara orang Australia dan Cina Malaysia. Apa pun bagi saya, semoga mereka gembira sepanjang berada di Malaysia dan berpuas hati semasa menginap di Homestay De Rasi.


Sekian, jumpa lagi.





"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"


Sunday, September 2, 2012

Tetamu terakhir untuk bulan Ogos 2012

As salam...

      Berjumpa lagi kita di sini. Apa khabar saudara/ri sekalian? Doa saya semoga tuan/puan sekalian diberi kesihatan yang baik serta selalu rasa ketenangan dalam melayari kehidupan seharian. Bila disebut kehidupan pastinya kita tidak dapat lari dari masalah. Kadang-kadang masalah besar dan kadang-kala masalah biasa-biasa sahaja. Apa pun yang paling penting ialah cara bagaimana kita menghadapi masalah itu. Sama-samalah kita susuri kehidupan ini dan sentiasalah berdoa, semoga kita lebih cekal dan tabah dalam gelaran sebagai khalifah di muka bumi ini.

     
      Begitulah juga dengan saya di sini. Kekadang terdetik juga di hati, kenapa kami 'dipilih' untuk menjalankan perkhidmatan homestay ini. Saya tiada pembantu tetap, hanya kami suami isteri pekerja tetapnya. Pernah 2 kali saya memanggil Yanti (pekerja Indonesia) untuk membantu saya membersihkan homestay. Itu pun untuk kerja-kerja di tempat yang tinggi seperti mengelap cermin pintu/tingkap dan membersihkan bilah-bilah kipas angin. Rutin pembersihan seperti menyapu sampah dan habuk serta mengemop lantai adalah milik saya, manakala bagi suami pula khas untuk tugasan memasang dan membasuh cadar/sarung bantal/selimut. 


      
     Pada pendapat saya, mungkin ini satu 'pemberian' dari Nya untuk kami mendapat bekalan akhirat nanti. Kami cuba menyiapkan keperluan tetamu di homestay supaya tetamu selesa dan gembira. Bukan sekadar wang ringgit yang menjadi tukaran tetapi doa dari kalian agar kami terus dilimpahi dengan cahaya kerahmatan dan kesihatan yang baik demi untuk kebaikan manusia sejagat.


      Dalam kekalutan masa dan tenaga itu juga saya menerima kumpulan tetamu terakhir untuk bulan Ogos 2012 ini. Tempahan ini datangnya dari Pn. Syana dari Desa Sri Ampang. Taman ini bersebelahan dengan Taman Rasi Ampang. Jika ditanya, di manakah letaknya kedua-dua taman ini, senang sahaja jawapan saya, sebelah Tol Ipoh Selatan. Begitulah takdirnya, lokasi Homestay De Rasi ini sangat strategik iaitu sebelah Lebuhraya Utara Selatan dan sangat dekat dengan Tol Ipoh Selatan.

     
       Tetamu saya kali ini datangnya dari Subang Jaya, Jalan SS14-4B. Mereka terdiri dari 9 orang dengan diketuai oleh En. Aizam Bin Zainal Abidin, isteri dan anak-anak. Mereka menyewa homestay untuk tempoh semalam bermula dari 31 Ogos 2012 dan keluar keesokkan harinya iaitu 1 September 2012. Mereka datang ke Ipoh ini untuk meraikan majlis perkahwinan anak Pn. Syana di sini. 


        Saya bagi pihak tuan rumah Homestay De Rasi, mengharapkan agar En. Aizam sekeluarga selesa dan berpuas hati dengan perkhidmatan homestay kami ini. Jika ada rezeki di masa akan datang kita berjumpa lagi.



Sekian.





    ''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "

Tuesday, August 28, 2012

Tetamu dari Kuantan pula...

As Salam..


Bertemu kita lagi di sini. Di ruangan ini saya coretkan serba sedikit pengalaman saya bersama tetamu Homestay De Rasi yang terletak di Taman Rasi Ampang, Ipoh.


Pn. Maimon menyerahkan kunci homestay anggaran pukul 12.00 tengahari pada 24 Ogos itu. Seusai kunci homestay bertukar tangan, suami saya terus ke homestay untuk kerja-kerja pembersihan. Waktu itu jantung saya berdebar-debar, semua aktiviti pembersihan dan mengemas kelengkapan homestay perlu cepat dan pantas. Ini kerana saya telah menerima tempahan dari En. Marzuki untuk 24 Ogos itu.


Dalam 5 minit suami di homestay, saya mendapat panggilan telefon dari En. Marzuki yang memaklumkan saudara-maranya telah sampai di Ipoh. Saya memohon penangguhan 'check-in' anggaran pukul 2.00 petang dan alhamdulillah En. Marzuki memahami situasi kelam-kabut saya waktu itu. Kesian juga saya dengan keluarga tetamu ini, maklumlah yang kaum lelakinya perlu bergegas ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat tengahari itu.


Dan anggaran pukul 2.15 petang itu, sampailah tetamu homestay saya, diketuai oleh Tn. Mohamad Ridzwan B. Mohd Tahar. Mereka sekeluarga termasuk anak, menantu dan cucu seramai 9 orang dari Bukit Ubi Kuantan, Pahang. Mereka datang ke Ipoh ini untuk meraikan majlis pertunangan dan perkahwinan anak En. Marzuki. 

Dan esoknya dalam pukul 11.30 pagi, mereka telah bersedia untuk 'check-out'. Saya mengiringi pemergian tetamu saya ini dengan ucapan selamat jalan dan semoga selamat sampai ke destinasi seterusnya. 


Sekian, jumpa lagi






Tetamu dari Johor pula...

As Salam semua...

Apa khabar tuan/puan sekalian. Harapan saya semoga semuanya sihat hendaknya. Di sini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.


Kad1: untuk tetamu lelaki...


Kad2: untuk tetamu perempuan...


Kad3: untuk tetamu kanak-kanak pula...


              Pada 23 Ogos 2012 yang lalu, Homestay De Rasi menerima tetamu dari Johor, Pn. Maimon sekeluarga. Mereka berjalan raya ke Ipoh ini, dan pastinya ke rumah sahabat baiknya iatu Pn. Norsham. Cerita Pn. Norsyam ada di SINI.

           Sebelum itu Pn. Norsham ada bertanya tarikh 23 Ogos itu, katanya untuk tempahan semalam. Bagi pihak saya agak keberatan juga kerana tarikh itu jatuh pada 5 Syawal, masih dalam mood berhari raya lagi. Tetapi segalanya berubah setelah saya menerima panggilan telefon dari Pn. Maimon sendiri yang begitu berhajat untuk menginap di homestay. Saya dengan rendah hati menerima kehadiran mereka sekeluarga.

            Harapan saya hendaknya Pn. Maimon sekeluarga gembira dan selesa menginap di Homestay De Rasi dan doa saya semoga mereka selamat sampai semula ke Johor.



Sekian, jumpa lagi..





  ''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "
            


Saturday, August 11, 2012

Tetamu dari Jitra

As Salam semua...

                Apa khabar tuan/puan sekalian. Doa saya semoga kalian berada dalam keadaan sihat walafiat dan ceria-ceria selalu. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak 1433 yang jatuh pada 21 Julai yang lalu. Moga Ramadhan kali ini memberi peluang untuk kita sama-sama beramal dan berebut peluang untuk menjadi insan soleh dan solehah, aminn...

               Untuk bulan Ogos 2012 ini, Homestay De Rasi telah menerima tempahan dari Pn. Rosdiah (Senibina JKA). Dia menelefon saya bertanyakan homestay dan terus menempah untuk tarikh 7-8 Ogos 2012 (semalam). Maklumnya lagi tempahan ini untuk pensyarah dan pelajar dari POLIMAS Jitra yang mengadakan lawatan ke Ipoh ini untuk akvitivi di SELAWA.


Logo POLIMAS.png


               Dia juga ada memaklumkan kepada saya yang dia telah menempah 2 buah homestay untuk kegunaan pelajar lelaki dan perempuan. Dan pohonnya lagi, supaya saya menunjukkan lokasi homestay yang sebuah lagi itu kepada tetamu kami ini, maklumlah mereka sampai anggaran jam 6.00 petang dan mungkin mengejar masa untuk berbuka puasa pula.

               Sampai petang yang dijanjikan, saya mendapat panggilan telefon dari En. Zaharuddin pula, iaitu kenalan Pn.Rosdiah. En. Zaharuddin ini baru berpindah ke Ipoh ini dan dia juga tidak pasti dengan lokasi Homestay De Rasi. Saya yang baru sampai ke rumah waktu itu terus mengambil beliau di depan Sek. Men. Wira Jaya dan terus membawanya ke homestay.

               Selesai urusan pemberian kunci homestay kepada pensyarah pengiring POLIMAS iatu En. Rodzi B. Yahaya, saya terus membawa mereka ke sebuah lagi homestay. Sampai di sana, tuan rumah homestay, Pn. Rohaya telah sedia menunggu kami. Gembira saya dapat berkenalan dengan Pn. Rohaya ini, yang sama-sama mengusahakan perkhidmatan homestay ini.


            Dan esoknya anggaran jam 5.00 petang, En. Zaharuddin yang baik hati telah memulangkan kunci Homestay De Rasi ke pejabat saya, terima kasih diucapkan kepadanya walaupun hari Rabu itu beliau sedang bercuti.


Sekian, jumpa lagi.



  ''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "

Tuesday, July 17, 2012

Tempahan dari Bos..


As Salam semua..


               Agak lama juga Homestay De  Rasi ditinggalkan kesepian, siangnya sunyi dan malamnya kekosongan, tiada peneman. Tuan Rumahnya bersenang-lenang berehat di rumah sendiri, tiada aktiviti mengemop lantai, menyapu habuk, memasang cadar dan sarung bantal. Hujung minggunya pula kami sekeluarga berjalan-jalan, memanaskan enjin Cerry...hehheee...


              Kesepian dan kesunyian itu hanya sementara sahaja, lebih kurang 11 hari sahaja. Makanya pada pertengahan bulan Julai iaitu pada 14hb Julai 2012 bertandanglah 9 orang tetamu ke Homestay De Rasi. Mereka bermalam di Ipoh ini setelah menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Seri Iskandar.


              Tetamu saya kali ini diketuai oleh En. Wan Md Suhaimi B. Wan Hassan dari Taman Guru Kg. Panti, Kota Bharu, Kelantan. Petang itu mereka sampai dengan menaiki 2 buah kenderaan, kata mereka lagi akan ada lagi tetamu yang masih dalam perjalanan ke homestay. Tidak mengapalah, yang penting mereka selamat sampai ke homestay dan berehatlah di situ sebelum balik semula ke Kelantan.


               Tuan/puan, penginapan tetamu saya kali ini adalah atas tempahan Pn. Hjh. Haslina Yusuf, bos saya di pejabat.





                 Teringat saya semasa mula-mula beliau menelefon saya bertanyakan Homestay De Rasi. Dia terus menyebut nama penuh saya dahulu, apa lagi terkejutlah saya. Saya terus bertanya siapa gerangannya di sana dan bagaimana dia tahu nama penuh saya. Laa.....nie Haslina ler, katanya....(maafkan saya yer, tak cam suara Pn. Hjh. awal-awal lagi....)


                Terima kasih diucapkan kepada Pn. Hjh. Haslina di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya, buktinya beliau membuat tempahan tanpa sebarang 'lawatan'. Dan yang pastinya homestay saya ini berdekatan dengan kawasan rumahnya, serta berhampiran pula dengan Lebuhraya Utara-Selatan. Mudah dan senang untuk saudara-maranya untuk balik semula ke negeri Kelantan Darul Naim.


Sekian, jumpa lagi. 




 '' KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "

Wednesday, July 4, 2012

Tempahan Cikgu Arifah



As Salam dan salam sejahtera semua...

              Pada pertengahan bulan Jun lalu iaitu pada 16hb, Pn. Arifah Bt Abdul Murad telah menempah Homestay De Rasi. Dia menempah pada tarikh 29hb Jun hingga 1hb Julai 2012 untuk tempoh 2 malam. Pn. Arifah ini seorang guru di Sek. Kebangsaan Raja Chulan, Tmn Cempaka di sini. Beliau menempah homestay untuk dijadikan sebagai tempat penginapan saudara-maranya sempena meraikan majlis perkahwinan anak perempuannya, Azyyati Fatin Bt. Amin Nudin pada 30 Jun 2012.

            Semasa melawat Homestay De Rasi pertama kalinya, Cikgu Arifah datang bersama seorang kakaknya. Mereka melihat-lihat dahulu keadaan dalam dan luar homestay sebelum bersetuju untuk membuat tempahan. Saya selaku tuan rumah melayan tetamu saya seadanya, lagaknya seperti membawa VIP melawat tapak projek. Semua bahagian dijenguk, sampai ke bahagian belakang dapur dengan niat untuk menunjuk kedudukan mesin basuh saya.


         Gambar mesin basuh ada di bawah ini. Cerita lanjut tuan/puan boleh cari di SINI yer...




                     Selesai bahagian bawah, naik pula bahagian atas. Semua bilik dilawat termasuk bilik airnya sekali. Bahagian atas mempunyai 3 bilik tidur dan 3 bilik air. Cukup selesa untuk tetamu, dalam bilik tidur masing-masing ada bilik air tersendiri.  Setiap bilik air mempunyai kemudahan pemanas air. Boleh juga saya katakan homestay saya ini setaraf dengan hotel 3 bintang, heheee...

                   Seusai lawatan Cikgu Arifah petang itu, saya memaklumkan kepada suami saya. Cerita lebih kurang termasuklah juga saya memberitahu nombor plet kereta Cikgu Arifah ini. Suami saya terus membalas balik yang dia selalu bertembung dengan Waja MAT XXXX itu dan juga mengetahui di mana rumah Cikgu Arifah ini. Plet kenderaan mula dengan huruf M tentu beli di Melaka, betul tak Cikgu...




Sekian, jumpa lagi...




'' KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "