Thursday, September 27, 2012

Rekod Tempahan...6 Malam




As Salam dan salam sejahtera semua...


Berjumpa lagi kita di sini, coretan kisah pertemuan saya dengan semua tetamu Homestay De Rasi, Taman Rasi Ampang, Ipoh Perak. Setiap pertemuan pastinya akan diakhiri dengan perpisahan, maka hargailah setiap detik ketika sesi pertemuan itu. Ini kerana selepas perpisahan itu hanya tinggal kenangan sahaja sewaktu bersama, jika diizinkanNya insyaallah akan bertemu semula di masa yang lain pula.


Begitulah juga kisahnya dengan tetamu saya kali ini. Sebelum ini beliau telah datang ke Homestay De Rasi sewaktu saudara-maranya dari
Macau datang ke Malaysia dahulu. Kali ini pula tempahan dari En. Choong Kee Wong untuk kegunaan keluarga anak lelakinya yang menetap di Australia. Besan En. Choong ini adalah campuran Cina dan Inggeris. Mereka ini,  ibu (Cina) dan ayah mentua (Inggeris) peramah orangnya. Mereka hanya berbahasa Cina dan Inggeris sahaja. 


En. Choong menempah homestay untuk tempoh 6 malam iaitu dari 17 hingga 23 September 2012 untuk tetamu seramai 10 orang dari Australia itu. Kedatangan tetamu ini adalah untuk meraikan majlis perkahwinan anak En. Choong di Taman Desa Kebudayaan dekat sini. Mereka sampai di KLIA anggaran 6 pagi dan En. Choong mengambil mereka dan terus dibawa ke homestay untuk berehat. 





 
Dengan menyewa sebuah van pelancong, mereka selamat sampai di perkarangan Homestay  De Rasi anggaran jam 11.15 pagi dan saya telah bersedia menunggu kedatangan mereka. Lagak seperti pemandu pelancong, saya terus menunjukkan kepada mereka kemudahan-kemudahan yang terdapat di homestay ini. Sementara itu suami saya bersembang-sembang dengan En. Choong dan rakan beliau (pemandu van). 

Selepas memasukkan beg-beg yang berat belaka, mereka terus bersiap untuk keluar semula untuk makan tengahari. Saya tertarik dengan cucu lelaki En. Choong yang sangat comel itu, usianya anggaran 4 tahun. Pipinya kemerahan dan matanya sepet, hasil perkahwinan campur antara orang Australia dan Cina Malaysia. Apa pun bagi saya, semoga mereka gembira sepanjang berada di Malaysia dan berpuas hati semasa menginap di Homestay De Rasi.


Sekian, jumpa lagi.


"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"


Sunday, September 2, 2012

Tetamu terakhir untuk bulan Ogos 2012



As salam...

      Berjumpa lagi kita di sini. Apa khabar saudara/ri sekalian? Doa saya semoga tuan/puan sekalian diberi kesihatan yang baik serta selalu rasa ketenangan dalam melayari kehidupan seharian. Bila disebut kehidupan pastinya kita tidak dapat lari dari masalah. Kadang-kadang masalah besar dan kadang-kala masalah biasa-biasa sahaja. Apa pun yang paling penting ialah cara bagaimana kita menghadapi masalah itu. Sama-samalah kita susuri kehidupan ini dan sentiasalah berdoa, semoga kita lebih cekal dan tabah dalam gelaran sebagai khalifah di muka bumi ini.

     
      Begitulah juga dengan saya di sini. Kekadang terdetik juga di hati, kenapa kami 'dipilih' untuk menjalankan perkhidmatan homestay ini. Saya tiada pembantu tetap, hanya kami suami isteri pekerja tetapnya. Pernah 2 kali saya memanggil Yanti (pekerja Indonesia) untuk membantu saya membersihkan homestay. Itu pun untuk kerja-kerja di tempat yang tinggi seperti mengelap cermin pintu/tingkap dan membersihkan bilah-bilah kipas angin. Rutin pembersihan seperti menyapu sampah dan habuk serta mengemop lantai adalah milik saya, manakala bagi suami pula khas untuk tugasan memasang dan membasuh cadar/sarung bantal/selimut. 


      
     Pada pendapat saya, mungkin ini satu 'pemberian' dari Nya untuk kami mendapat bekalan akhirat nanti. Kami cuba menyiapkan keperluan tetamu di homestay supaya tetamu selesa dan gembira. Bukan sekadar wang ringgit yang menjadi tukaran tetapi doa dari kalian agar kami terus dilimpahi dengan cahaya kerahmatan dan kesihatan yang baik demi untuk kebaikan manusia sejagat.


      Dalam kekalutan masa dan tenaga itu juga saya menerima kumpulan tetamu terakhir untuk bulan Ogos 2012 ini. Tempahan ini datangnya dari Pn. Syana dari Desa Sri Ampang. Taman ini bersebelahan dengan Taman Rasi Ampang. Jika ditanya, di manakah letaknya kedua-dua taman ini, senang sahaja jawapan saya, sebelah Tol Ipoh Selatan. Begitulah takdirnya, lokasi Homestay De Rasi ini sangat strategik iaitu sebelah Lebuhraya Utara Selatan dan sangat dekat dengan Tol Ipoh Selatan.

     
       Tetamu saya kali ini datangnya dari Subang Jaya, Jalan SS14-4B. Mereka terdiri dari 9 orang dengan diketuai oleh En. Aizam Bin Zainal Abidin, isteri dan anak-anak. Mereka menyewa homestay untuk tempoh semalam bermula dari 31 Ogos 2012 dan keluar keesokkan harinya iaitu 1 September 2012. Mereka datang ke Ipoh ini untuk meraikan majlis perkahwinan anak Pn. Syana di sini. 


        Saya bagi pihak tuan rumah Homestay De Rasi, mengharapkan agar En. Aizam sekeluarga selesa dan berpuas hati dengan perkhidmatan homestay kami ini. Jika ada rezeki di masa akan datang kita berjumpa lagi.



Sekian.






    ''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "

Tuesday, August 28, 2012

Tetamu dari Kuantan pula...





As Salam..


Bertemu kita lagi di sini. Di ruangan ini saya coretkan serba sedikit pengalaman saya bersama tetamu Homestay De Rasi yang terletak di Taman Rasi Ampang, Ipoh.


Pn. Maimon menyerahkan kunci homestay anggaran pukul 12.00 tengahari pada 24 Ogos itu. Seusai kunci homestay bertukar tangan, suami saya terus ke homestay untuk kerja-kerja pembersihan. Waktu itu jantung saya berdebar-debar, semua aktiviti pembersihan dan mengemas kelengkapan homestay perlu cepat dan pantas. Ini kerana saya telah menerima tempahan dari En. Marzuki untuk 24 Ogos itu.


Dalam 5 minit suami di homestay, saya mendapat panggilan telefon dari En. Marzuki yang memaklumkan saudara-maranya telah sampai di Ipoh. Saya memohon penangguhan 'check-in' anggaran pukul 2.00 petang dan alhamdulillah En. Marzuki memahami situasi kelam-kabut saya waktu itu. Kesian juga saya dengan keluarga tetamu ini, maklumlah yang kaum lelakinya perlu bergegas ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat tengahari itu.


Dan anggaran pukul 2.15 petang itu, sampailah tetamu homestay saya, diketuai oleh Tn. Mohamad Ridzwan B. Mohd Tahar. Mereka sekeluarga termasuk anak, menantu dan cucu seramai 9 orang dari Bukit Ubi Kuantan, Pahang. Mereka datang ke Ipoh ini untuk meraikan majlis pertunangan dan perkahwinan anak En. Marzuki. 

Dan esoknya dalam pukul 11.30 pagi, mereka telah bersedia untuk 'check-out'. Saya mengiringi pemergian tetamu saya ini dengan ucapan selamat jalan dan semoga selamat sampai ke destinasi seterusnya. 


Sekian, jumpa lagi



 

Tetamu dari Johor pula...



As Salam semua...

Apa khabar tuan/puan sekalian. Harapan saya semoga semuanya sihat hendaknya. Di sini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.



Kad1: untuk tetamu lelaki...


Kad2: untuk tetamu perempuan...


Kad3: untuk tetamu kanak-kanak pula...


              Pada 23 Ogos 2012 yang lalu, Homestay De Rasi menerima tetamu dari Johor, Pn. Maimon sekeluarga. Mereka berjalan raya ke Ipoh ini, dan pastinya ke rumah sahabat baiknya iatu Pn. Norsham. Cerita Pn. Norsyam ada di SINI.

           Sebelum itu Pn. Norsham ada bertanya tarikh 23 Ogos itu, katanya untuk tempahan semalam. Bagi pihak saya agak keberatan juga kerana tarikh itu jatuh pada 5 Syawal, masih dalam mood berhari raya lagi. Tetapi segalanya berubah setelah saya menerima panggilan telefon dari Pn. Maimon sendiri yang begitu berhajat untuk menginap di homestay. Saya dengan rendah hati menerima kehadiran mereka sekeluarga.

            Harapan saya hendaknya Pn. Maimon sekeluarga gembira dan selesa menginap di Homestay De Rasi dan doa saya semoga mereka selamat sampai semula ke Johor.



Sekian, jumpa lagi..





  ''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "
            


Saturday, August 11, 2012

Tetamu dari Jitra



As Salam semua...

                Apa khabar tuan/puan sekalian. Doa saya semoga kalian berada dalam keadaan sihat walafiat dan ceria-ceria selalu. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak 1433 yang jatuh pada 21 Julai yang lalu. Moga Ramadhan kali ini memberi peluang untuk kita sama-sama beramal dan berebut peluang untuk menjadi insan soleh dan solehah, aminn...

               Untuk bulan Ogos 2012 ini, Homestay De Rasi telah menerima tempahan dari Pn. Rosdiah (Senibina JKA). Dia menelefon saya bertanyakan homestay dan terus menempah untuk tarikh 7-8 Ogos 2012 (semalam). Maklumnya lagi tempahan ini untuk pensyarah dan pelajar dari POLIMAS Jitra yang mengadakan lawatan ke Ipoh ini untuk akvitivi di SELAWA.


Logo POLIMAS.png


               Dia juga ada memaklumkan kepada saya yang dia telah menempah 2 buah homestay untuk kegunaan pelajar lelaki dan perempuan. Dan pohonnya lagi, supaya saya menunjukkan lokasi homestay yang sebuah lagi itu kepada tetamu kami ini, maklumlah mereka sampai anggaran jam 6.00 petang dan mungkin mengejar masa untuk berbuka puasa pula.

               Sampai petang yang dijanjikan, saya mendapat panggilan telefon dari En. Zaharuddin pula, iaitu kenalan Pn.Rosdiah. En. Zaharuddin ini baru berpindah ke Ipoh ini dan dia juga tidak pasti dengan lokasi Homestay De Rasi. Saya yang baru sampai ke rumah waktu itu terus mengambil beliau di depan Sek. Men. Wira Jaya dan terus membawanya ke homestay.

               Selesai urusan pemberian kunci homestay kepada pensyarah pengiring POLIMAS iatu En. Rodzi B. Yahaya, saya terus membawa mereka ke sebuah lagi homestay. Sampai di sana, tuan rumah homestay, Pn. Rohaya telah sedia menunggu kami. Gembira saya dapat berkenalan dengan Pn. Rohaya ini, yang sama-sama mengusahakan perkhidmatan homestay ini.


            Dan esoknya anggaran jam 5.00 petang, En. Zaharuddin yang baik hati telah memulangkan kunci Homestay De Rasi ke pejabat saya, terima kasih diucapkan kepadanya walaupun hari Rabu itu beliau sedang bercuti.



Sekian, jumpa lagi.





  ''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "


 

Tuesday, July 17, 2012

Tempahan dari Bos..



As Salam semua..

               Agak lama juga Homestay De  Rasi ditinggalkan kesepian, siangnya sunyi dan malamnya kekosongan, tiada peneman. Tuan Rumahnya bersenang-lenang berehat di rumah sendiri, tiada aktiviti mengemop lantai, menyapu habuk, memasang cadar dan sarung bantal. Hujung minggunya pula kami sekeluarga berjalan-jalan, memanaskan enjin Cerry...hehheee..
 
 
Kesepian dan kesunyian itu hanya sementara sahaja, lebih kurang 11 hari sahaja. Makanya pada pertengahan bulan Julai iaitu pada 14hb Julai 2012 bertandanglah 9 orang tetamu ke Homestay De Rasi. Mereka bermalam di Ipoh ini setelah menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Seri Iskandar.
 
 
              Tetamu saya kali ini diketuai oleh En. Wan Md Suhaimi B. Wan Hassan dari Taman Guru Kg. Panti, Kota Bharu, Kelantan. Petang itu mereka sampai dengan menaiki 2 buah kenderaan, kata mereka lagi akan ada lagi tetamu yang masih dalam perjalanan ke homestay. Tidak mengapalah, yang penting mereka selamat sampai ke homestay dan berehatlah di situ sebelum balik semula ke Kelantan.
 
  Tuan/puan, penginapan tetamu saya kali ini adalah atas tempahan Pn. Hjh. Haslina Yusuf, bos saya di pejabat.
 
 
 
 


                 Teringat saya semasa mula-mula beliau menelefon saya bertanyakan Homestay De Rasi. Dia terus menyebut nama penuh saya dahulu, apa lagi terkejutlah saya. Saya terus bertanya siapa gerangannya di sana dan bagaimana dia tahu nama penuh saya. Laa.....nie Haslina ler, katanya....
(maafkan saya yer, tak cam suara Pn. Hjh. awal-awal lagi....)
 
 
               Terima kasih diucapkan kepada Pn. Hjh. Haslina di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya, buktinya beliau membuat tempahan tanpa sebarang 'lawatan'. Dan yang pastinya homestay saya ini berdekatan dengan kawasan rumahnya, serta berhampiran pula dengan Lebuhraya Utara-Selatan. Mudah dan senang untuk saudara-maranya untuk balik semula ke negeri Kelantan Darul Naim.


Sekian, jumpa lagi. 
 

'' KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "

Wednesday, July 4, 2012

Tempahan Cikgu Arifah



As Salam dan salam sejahtera semua...


              Pada pertengahan bulan Jun lalu iaitu pada 16hb, Pn. Arifah Bt Abdul Murad telah menempah Homestay De Rasi. Dia menempah pada tarikh 29hb Jun hingga 1hb Julai 2012 untuk tempoh 2 malam. Pn. Arifah ini seorang guru di Sek. Kebangsaan Raja Chulan, Tmn Cempaka di sini. Beliau menempah homestay untuk dijadikan sebagai tempat penginapan saudara-maranya sempena meraikan majlis perkahwinan anak perempuannya, Azyyati Fatin Bt. Amin Nudin pada 30 Jun 2012.

            Semasa melawat Homestay De Rasi pertama kalinya, Cikgu Arifah datang bersama seorang kakaknya. Mereka melihat-lihat dahulu keadaan dalam dan luar homestay sebelum bersetuju untuk membuat tempahan. Saya selaku tuan rumah melayan tetamu saya seadanya, lagaknya seperti membawa VIP melawat tapak projek. Semua bahagian dijenguk, sampai ke bahagian belakang dapur dengan niat untuk menunjuk kedudukan mesin basuh saya.


         Gambar mesin basuh ada di bawah ini. Cerita lanjut tuan/puan boleh cari di
SINI yer...




                     Selesai bahagian bawah, naik pula bahagian atas. Semua bilik dilawat termasuk bilik airnya sekali. Bahagian atas mempunyai 3 bilik tidur dan 3 bilik air. Cukup selesa untuk tetamu, dalam bilik tidur masing-masing ada bilik air tersendiri.  Setiap bilik air mempunyai kemudahan pemanas air. Boleh juga saya katakan homestay saya ini setaraf dengan hotel 3 bintang, heheee...

                   Seusai lawatan Cikgu Arifah petang itu, saya memaklumkan kepada suami saya. Cerita lebih kurang termasuklah juga saya memberitahu nombor plet kereta Cikgu Arifah ini. Suami saya terus membalas balik yang dia selalu bertembung dengan Waja MAT XXXX itu dan juga mengetahui di mana rumah Cikgu Arifah ini. Plet kenderaan mula dengan huruf M tentu beli di Melaka, betul tak Cikgu...




Sekian, jumpa lagi...




'' KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "



Thursday, June 7, 2012

Tempahan Kedua Cik Thila...




As Salam dan salam sejahtera,



                  Setelah tetamu saya dari tempahan Pn. Ju keluar maka pada esoknya, 3hb Jun 2012, sekali lagi tetamu dari tempahan Cik Thila masuk ke Homestay De Rasi, Ipoh. Kali ini untuk kegunaan saudara-maranya yang datang bersama-sama meraikan hari bahagianya. Untuk tempahan bulan Februari dahulu diadakan majlis pertunangan, maka kali ini tibalah pula majlis perkahwinannya. Cik Thila telah awal-awal lagi menempah homestay ini setelah tempahan bulan Februari dahulu. Ceritanya ada di SINI.


               Doa saya semoga Cik Thila dan suami sentiasa berbahagia dan gembira selalu. Mereka mengadakan majlis perkahwinan di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan. Tentu hebat bukan....


               Saya sertakan gambar bangunan ini untuk tatapan tuan/puan sekalian.




Sekian, jumpa lagi...


'' KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "

Wednesday, June 6, 2012

Tempahan awal Jun 2012



Assalamualaikum semua...


      Sedar tak sedar, kita telah masuk ke bulan Jun 2012. Enam bulan pertama tahun 2012 telah kita lalui, tinggal lagi enam bulan untuk kita bertemu dengan tahun 2013. Jika ingatkan semula kenangan lama, terasa cepat masa meninggalkan kita. Masih terbayang lagi peristiwa 'bersejarah' dalam hidup saya, tanggal 16hb Jun 1999 iaitu hampir 13 tahun yang lalu. Bermulanya sebuah kehidupan ke alam pekerjaan, semasa itu terasa indahnya dunia kerana impian telah menjadi kenyataan...heheheee..( terasa jiwang la pulak..)

              Pada 2hb Jun yang lalu, Homestay De Rasi telah menerima tetamu dari negeri Pahang Darul Makmur. Tempahan ini telah dibuat oleh Pn. Zuraini (Pn. Ju) pada 15hb Februari yang lalu iaitu lebih kurang awal 4 bulan dari tarikh masuk. Pn. Ju dan suami En. Rahim telah melawat homestay ini dan setelah mereka berpuas hati barulah mereka membuat tempahan. Mereka menempah homestay ini sebagai tempat persinggahan keluarga menantu sempena majlis perkahwinan anak sulung mereka pada 3hb Jun yang lalu.

             Cerita mereka lagi, semasa majlis pertunangan anak mereka dahulu, (tarikhnya saya sudah lupa) Pn. Ju ada menelefon saya bertanyakan Homestay De Rasi. Makanya pada masa itu dengan dukacitanya saya memaklumkan bahawa tarikh tersebut telah ditempah oleh orang lain. Susulan dari peristiwa itu, Pn. Ju dan suami bertekad untuk menempah awal kerana mereka sangat berharap untuk menempatkan keluarga menantu mereka di homestay saya ini. Katanya lagi homestay saya ini selesa, luas dan sejuk, maklumlah lokasinya terletak di depan padang, angin sentiasa keluar masuk.

           
              Kunci homestay telah diambil oleh anak Pn. Ju, Nurfayyadhah tepat jam 2.00 petang Jumaat itu. Senang hati saya jika kunci telah diserahkan kerana tidak perlu tertunggu-tertunggu kedatangan tetamu. Harapan saya semoga semua tetamu yang hadir selesa dan gembira semasa menjadi tetamu Homestay De Rasi.

              Ucapan Selamat Pengantin Baru buat Fazdlinda dan Firdaus, semoga berbahagia sehingga ke akhir hayat...aminnn..


Sekian, jumpa lagi.          



 '' KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "

Wednesday, May 30, 2012

Tempahan En. Mohd Kamal

As Salam dan salam sejahtera....

               
                  Apa khabar semua? Doa saya semoga kalian dalam keadaan sihat walafiat hendaknya. Saya di sini biasa-biasa sahaja, siang sibuk dengan urusan pejabat dan dari petang ke malamnya pula kelam-kelibut dengan urusan rumahtangga dan anak-anak. Kini sudah masuk bulan Mei 2012, bulan yang memberi kenangan manis buat diri saya dan suami. Apa yang manisnya, cuba cerita sikit Yong....

                    Pada 16 Mei setiap tahun kita akan menyambut Hari Guru, namun bagi saya inilah tarikh pertama saya bergelar seorang ibu dengan selamat melahirkan cahayamata perempuan pada tahun 2002 yang lalu. Kiranya 2 peristiwa dalam satu tarikh, Selamat Hari Guru dan Selamat Ulang Tahun Kelahiran buat Nur Huda Aqilah. Sekarang 'anak mama' sudah besar, sudah 10 tahun. Gambarnya ada di bawah ini.


                                       
                        .....semasa Majlis Khatam Al-Quran pada 11 Mac 2012....


                                 
 .....jalan-jalan bersama opah, pak/emak andak, nyah  dan atuk (kopiah putih) di Melaka.....

           
                Berbalik kita kepada cerita Homestay De Rasi pula. Pada bulan Mei tahun 2012 ini, kami menerima tetamu dari tempahan En. Mohd Kamal Bin Shafei dari Persiaran Halaman Ampang 1, Taman Ampang Indah, Ipoh. Beliau dan isteri telah melawat homestay saya pada 14hb Februari yang lalu dan terus membuat tempahan untuk 26hb Mei 2012 bagi tempoh semalam. Mereka menempah untuk kegunaan keluarga bakal menantunya, jika tidak silap saya dari Pahang (maaf dipinta jika saya silap dengar yer...).

               Tugas mengambil dan memulangkan semula kunci homestay telah diamanahkan kepada anak lelaki beliau iaitu Muhammad Syafiq. Baguslah begitu, ada pembahagian tugas lebih-lebih lagi pada masa yang 'kritikal sibuk'. Bila sumber manusia digunakan sebaik mungkin, semua kerja berjalan dengan lancar dan teratur.

               Terima kasih kepada En. Mohd Kamal dan isteri atas pemberian cenderahati tempohari. Doa saya semoga kehidupan pasangan pengantin sentiasa dilimpahi rahmat dan perlindungan dari Yang Esa.



Sekian, jumpa lagi....



 '' KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "
 
 
 
 


Tuesday, April 24, 2012

Tetamu Dari Johor

As Salam semua...

         
                 Setelah Homestay De Rasi 'berehat' anggaran 10 hari, maka pada 18hb April 2012 yang lalu tetamu baru kami dari selatan tanahair pula sampai. Mereka diketuai oleh Tn. Hj Omar B. Hj. Ibrahim dari Jalan Chempaka, Kg. Dato' Sulaiman Menteri, Johor Bahru, Johor dan isteri serta anak menantu dan cucunya dari KL. Dengan bilangan tetamu seramai 8 orang, mereka sampai dengan menaiki 2 buah kenderaan.

                 Tn. Hj. Omar ini dahulunya pernah tinggal di Rapat Setia, Ipoh (jika saya tidak silap) pada awal tahun 80-an. Anaknya pernah bersekolah di situ pada ketika dahulu. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain, mungkin kata-kata ini sangat sesuai merujuk kepada kenangan mereka semasa menetap di bandaraya Ipoh ini dahulu.

                 Pada esok harinya, anak Tn. Hj. Omar ada bersms dengan saya, bertanyakan lokasi Restoran Along. Dahulunya restoran ini berada di stadium tetapi sekarang telah berpindah ke lokasi baharu. Terletak di belakang bangunan CIMB Ipoh Garden, kedai tepi sekali. Jika tidak pasti, ikut jalan ke Hospital Fatimah, sampai bulatan terus ambil kiri (no 9) dan masuk simpang pertama. Depannya ada taman permainan kanak-kanak dan kami suami isteri selalu juga ke sana jika teringin makan lontong dan nasi lemak paru-paru goreng.

               Berbalik kepada cerita anak Tn. Hj. Omar tadi, atas petunjuk saya mereka berjaya sampai ke Restoran Along ini, tapi sedihnya restoran ini tutup pula. Hari Sabtu itu, 19hb April 2012 adalah Hari Keputeraan Sultan Perak, mungkin mereka mengambil kesempatan untuk bercuti juga. Sesudah itu mereka bersarapan di kedai makan di Jalan Tambun sebelum terus ke LWOT.

              Lupa pula saya, tengahari sebelum mereka sampai di homestay saya, anak Tn. Hj. Omar juga ada bertanyakan Restoran Simpang Tiga. Saya terangkan dengan ringkas sahaja jalan ke situ dan mereka telah sampai. Nampaknya mereka ini telah merancang dahulu untuk mencari tempat makan yang sedap-sedap. Mesti lah kan, Jalan-jalan Cari Makan.....hehehee...


                                                 
                                                   ini TV3 punya...



Sekian, jumpa lagi....



'' KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "
 
 
 
 





Wednesday, April 11, 2012

Tempahan Pn. Siti Nurshiha pula..

As Salam...

             Apa khabar saudara/ri sekalian, moga sihat dan ceria-ceria selalu hendaknya. Saya dan keluarga seperti biasa, sihat walafiat seadanya. Kadang-kadang itu rasa hendak demam juga, almaklumlah saya ini ada baby kecil, si manja saya Nur Husna Nadiah baru masuk 9 bulan. Tengah sibuk merangkak-rangkak, panjat sana-sini dan pastinya perlu diawasi sepanjang masa. Tidur malam saya pun kurang lena, asyik-asyik bangun untuk menyusu badan.

             Apa pun saya gembira dan sangat bersyukur dengan kehidupan saya sekarang, dikelilingi anak-anak tersayang serta tidak lupa suami yang 'ringan tulang', En. Dzul yang sentiasa siap-sedia untuk memasang cadar dan sarung bantal, dia nie dulu kerja askar, ..heheee...



                                                        haiii....


                                                saya la husna tu....


                                                 seriusnya muka dia...

           

                 Sudah panjang pula cerita anak saya. Jom kita balik semula ke bab homestay. Pada 29hb Mac yang lalu, Pn. Siti Norshiha Mhd. Fadzil dari Telok Bahang, Pulau Pinang telah membuat tempahan Homestay De Rasi. Dia menempah homestay untuk tempoh semalam iaitu pada 7hb-8hb April 2012.

                 Sampai tarikh yang dijanji, sebaik sahaja mereka sampai di depan homestay terus Pn. Siti menelefon saya. Nasib baik juga jarak rumah saya ke homestay ini cuma '2 langkah' sahaja, jadi dalam masa kurang 2 minit sahaja saya telah sampai di homestay untuk menyambut semua tetamu saya. Mereka sampai dengan 3 buah kenderaan, PJB ****, PFV **** dan PEL ****.

               Mereka sekeluarga berhajat mahu berjalan-jalan di Ipoh ini sambil membawa ibu tersayang. Pn. Siti ini dulu, pada akhir tahun 90-an pernah menuntut di PUO (JKA), serba-sedikit dia masih ingat jalan di sini. Tetapi biasalah pantai pun berubah, inikan pula Bandaraya Ipoh yang begitu pesat membangun. Mungkin dulu tiada lagi GIANT, TESCO dan LWOT.

              Di mana ada pertemuan pastinya akan ada perpisahan. Begitulah juga dengan tetamu saya kali ini. Kakak ipar Pn. Siti telah merancang, jika mereka sampai lagi di homestay saya ini, mereka akan masak-masak dahulu dan membawa periuk nasi elektrik sekali. Senang mereka mahu menjamu selera pada bila-bila masa. Untuk pengetahuan semua, di sini saya tidak menyediakan dapur untuk memasak, hanya disediakan pemanas air dan pembakar roti sahaja.


Sekian dahulu buat kali ini, jumpa lagi di lain kesempatan...byeee....


 
'' KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "




Thursday, April 5, 2012

Majlis Konvokesyen PUO Ke- 41: Tempahan Cik Nisa




As Sam semua...

              Pembukaan pertama penginapan Homestay De Rasi pada bulan April 2012 ini telah dipegang oleh Cik Nur Khairunisa Binti Kamalluddin dari Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Dia telah menempah homestay dan membuat pembayaran deposit pada 15hb Mac lagi dengan tujuan untuk menghadiri Majlis Istiadat Konvokesyen Kali ke- 41 Politeknik Ungku Omar Ipoh pada 2-4hb April 2012 yang lalu. Gambar-gambar sekitar majlis tersebut ada di SINI



PERAKTODAY10

(Gambar dari PerakToday)


            Sampai tarikh yang dijanjikan iaitu pada petang 2hb April, dalam anggaran pukul 5.30 petang Cik Nisa sekeluarga telah menunggu saya di hadapan PUO. Saya terus membawa mereka ke Homestay De Rasi. Berkenalanlah saya dengan ibu, ayah dan anak-beradik Cik Nisa. Dari perbualan kami itu, kata mereka homestay ini luas dan selesa untuk mereka sekeluarga. Di Pulau Pinang sana jarang ada rumah yang buka luasnya 22 kaki, jika ada pun tentulah banglo jutaan ringgit. Ibu dan ayah Cik Nisa ini juga berkhidmat dalam sektor perhotelan dan pelancongan. 
           
              Esoknya dalam pukul 1.00 tengahari kami berjumpa semula di ruang niaga dan Cik Nisa terus memulangkan kunci homestay. Ceria dan berseri wajah Cik Nisa pada waktu itu, setelah segala usaha dan penat-lelah semasa menuntut ilmu di PUO serta pengorbanan ibu ayah dihargai pada majlis konvokesyen ini.  Untuk pengetahuan semua, Cik Nisa ini adalah graduan dari JKA dan pastinya dia telah memperolehi pekerjaan setelah tamat pengajian tempohari. 

               Syabas dan tahniah dari saya, doa saya semoga kejayaan kali ini menjadi titik permulaan untuk kejayaan dan kecemerlangan yang lebih besar lagi di masa-masa akan datang. Diharapkan juga selepas ini kehidupan Cik Nisa sekeluarga terus diiringi dengan kebahagiaan dan kesejahteraan.

               
Sekian, jumpa lagi.... 
 
 
 
''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "
 
 
 
 

Thursday, March 29, 2012

Tempahan Last Minute..



As Salam semua...

                  Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman dengan tetamu saya yang telah menyewa Homestay De Rasi pada 26hb-28hb Mac 2012 yang lalu iaitu untuk tempahan 2 malam. Beliau adalah En. Mohd Khairulnizam Bin Yusuf, rakan sepejabat saya. Dan minggu ini juga adalah minggu terakhir dia berada di Ipoh ini. Beliau mengambil keputusan untuk 'berundur' dari Ipoh untuk menetap bersama-sama isteri beliau di Bandar Muadzam Shah, Pahang setelah hampir setahun memegang pingat PJJ (pasangan jarak jauh)...hehehe..





 
 
               Ceritanya, dalam pukul 5.30 petang 26hb Mac itu (Isnin), dia menelefon saya bertanyakan adakah homestay saya kosong pada malam itu. Katanya dia ingin menempah homestay saya semalam untuk kegunaan makcik-makciknya dari Kelantan. Saya yang dalam perjalanan pulang ke rumah terus berjanji untuk mengambilnya di Caltex TC dan terus kami menuju ke homestay. Bagi saya sebagai tuan rumah, sebaik-baiknya tetamu telah melihat atau 'melawat' dahulu luar dan dalam homestay sebelum memberi persetujuan untuk menempah homestay ini.
 
                Kata persetujuan dicapai, makanya lebih kurang dalam pukul 8.30 malam maka sampailah tetamu saya di Homestay De Rasi hasil dari tempahan last minute petang itu. Rupa-rupanya 2 buah keluarga sepupunya (muda-muda belaka) yang sampai, dan bukan ler makcik-makcik, hehehee...
 
                  Mulanya berjanji semalam, dan esoknya mereka bercadang hendak mandi-manda di Lost World Of Tambun. Sampai di sana pula LOWT ini tutup, dan barulah saya tahu LWOT ini tutup hari Selasa. Oleh yang demikian mereka mengambil keputusan untuk menginap semalam lagi di homestay.
 
                 Bagi saya dan suami, kami amat mengalu-alukan kedatangan tetamu kami ke Homestay De Rasi. Kami sedaya-upaya menyediakan kemudahan yang termampu dan moga tetamu-tetamu kami gembira dan selesa semasa menginap di sini.
 
 
Sekian, jumpa lagi.
 
 
 
''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "
 
 
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...