Tuesday, July 19, 2011

Tempoh Berpantang, homestay tetap berjalan....

Salam semua...






                  Saya ini masih lagi dalam tempoh berpantang, hari ini 19hb Julai 2011 baru masuk 16 hari. Teringat saya dengan pesan bidan kampung semasa berpantang anak sulung dahulu, katanya orang berpantang ini kalau boleh jangan membaca surat khabar dan menonton tv, urat-urat banyak yang sudah putus. Katanya takut urat-urat mata kejang dan nanti cepat rabun. Macamana pula kalau up-date blog?....

                 Saya menerima tetamu, Cik Norli dan rakan-rakan pada hujung minggu lepas untuk tempahan semalam iaitu pada 16hb Julai-17hb Julai 2011. Cik Norli meng'sms' saya untuk bertanya kekosongan homestay pada 3hb Julai 2011 iaitu pada hari saya bersalin anak keempat ini dan saya mohon penangguhan pengesahan sehinggalah saya mendapat 'lampu hijau' dari pembantu saya sepanjang tempoh berpantang.

                Pembantu saya memberikan kepastian dan saya pun menerima tempahan Cik Norli ini. Segala urusan mengemas, mengemop dan menyalin cadar serta sarung bantal semua dilakukannya termasuklah urusan menerima tetamu serta mengambil kunci homestay semula. Pembantu saya ini agak pemalu orangnya, kurang sedikit ramah sembangnya jika dibandingkan dengan saya. Apa pun saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih untuk pembantu saya ini dan minggu depan tolonglah saya lagi yer...hehehee...
           
               Minggu depan, pada 22hb Julai 2011 pula adalah tempahan dari En. Khalid untuk keluarga bakal besannya dari Kedah Darul Aman untuk tempahan semalam. Saya dengan sukacitanya menjemput 'orang jauh' ini menginap di Homestay De Rasi, Taman Rasi Ampang ini, moga ianya memberi satu pengalaman yang indah untuk semua. Saya juga mengharapkan agar homestay ini memberikan ruang keselesaan dan kegembiraan untuk tetamu-tetamunya.

Sekian dahulu, jumpa lagi.


"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"


 

Saturday, July 2, 2011

Tetamuku Selamat Sampai..


As Salam semua,

Dalam pukul 1.20 petang tadi saya mendapat panggilan telefon dari adik ipar Pn. Hafma yang menyatakan mereka telah sampai di STAR dan bertanya arah untuk menuju ke Homestay De Rasi. Saya terus sahaja memberitahu agar belok ke kiri tetapi jangan masuk Taman Cempaka. Setelah melalui Politeknik Ungku Omar, jumpa lampu isyarat yang pertama dan ambil lorong kiri juga serta berhenti di kedai buah. Saya dan suami akan mengambil mereka di kedai buah tersebut.




Betul seperti yang dijanji, mereka sedia menunggu di situ dan saya terus membawa mereka ke homestay. Sampai di homestay bersembang juga kami, dan antara topiknya ialah cara memendekkan lagi perjalanan ke Homestay De Rasi ini. Saya nyatakan kepada mereka selepas keluar dari Tol Ipoh Selatan tadi terus masuk ke kawasan rehat. Setelah itu bolehlah menelefon saya dan dalam tempoh 2 minit sahaja boleh sampai di depan pagar  Homestay De Rasi ini. Tetapai tidak mengapalah, yang penting mereka selamat sampai.

Tetamu saya pada hari ini, Tn. Hj Hussin sekeluarga (bapa mentua Pn. Hafma) dari Bandar Baru Bangi. Esok, Ahad 3hb Julai 2011 mereka mempunyai urusan di kawasan Utara, jika tidak silap saya untuk menghadiri majlis merisik. Walau apa jua urusan mereka selepas ini, saya mendoakan moga segalanya berjalan dengan lancar dan berehatlah mereka semalaman ini di homestay saya itu.

Tengahari tadi juga saya mendapat undangan dari Dato' Hj. Zulkifly dan Datin Hjh. Roiga untuk Majlis Perkahwinan puteranya Ahmad Faisal pada hari Sabtu, 23hb. Julai 2011 nanti. Dato' dan Datin juga berhajat untuk menempah Homestay De Rasi untuk 2 malam iaitu pada 22hb hingga 24hb Julai itu. Saya memohon kepada mereka agar memberi masa kepada saya dahulu sebelum mengambil tempahan mereka kerana sebelum ini, En. Khalid telah bertanyakan tarikh tersebut.

Dan petang tadi segalanya selesai iaitu En. Khalid mengambil tempahan semalam iaitu 22hb Julai 2011 manakala Dato' pula mengambil hari berikutnya pada 23hb Julai 2011. Dan bagi diri saya pula, insyaalah pada tarikh tersebut telah selamat bersalin, tuan/puan doakanlah agar saya mudah dan selamat bersalin untuk kali keempat ini.

Sekian, jumpa lagi.


"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"


 

Monday, June 27, 2011

Peta ke Homestay De Rasi

As Salam dan salam sejahtera semua,

Pada hujung minggu lepas iaitu pada 25hb hingga 26hb Jun 2011 (Sabtu dan Ahad), Pn Rahimah (Kak Imah) telah menempah Homestay De Rasi untuk kegunaan adik-beradiknya dari Johor dan Manjung Perak untuk tempahan semalam. Katanya mereka akan menghadiri majlis perkahwinan sepupunya di Meru. Dengan kedudukan homestay yang berhampiran dengan Lebuhraya Utara-Selatan, maka mudahlah mereka ke Jelapang dan terus ke Meru.

Jika tuan/puan mencari di Google Map pun jelas terpampang yang Homestay De Rasi, Taman Rasi Ampang ini berhampiran dengan Tol Ipoh Selatan. Tuan/puan yang datang dari arah Selatan/KL boleh terus ke Tol Ipoh Selatan ini setelah mengambil lorong KIRI. Ikut sahaja arahan dari PLUS ini,  jika mahu ke IPOH IKUT KIRI dan bayarlah tol di situ. Setelah itu belok ke Pusat Khidmat Pelanggan dan berhenti di kawasan rehat di situ dimana wakaf, tandas dan surau disediakan untuk kemudahan semua. Dari situ, tuan/puan hanya mengambil masa 2 minit sahaja untuk sampai ke pintu pagar homestay.


Bagi bakal tetamu Homestay De Rasi yang berada di Ipoh, kemungkinan besar mereka tiada masalah untuk ke homestay ini. Contohnya En. Hong, beliau berhajat untuk menempah homestay ini pada 29hb Oktober 2011 dan saya mencadangkan beliau melawat sendiri homestay ini walaupun telah melayari Homestay De Rasi. Namun berbeza pula keadaannya dengan Pn Hafma dari Bandar Baru Bangi yang hanya mampu melayari laman blog Homestay De Rasi sebelum mengambil keputusan untuk membuat tempahan.

Walau apa juga keadaannya, saya bagi pihak Tuan Rumah sedaya upaya berusaha untuk menyediakan kemudahan penginapan yang selesa dan bersih untuk semua tetamu saya. Bukan apa tuan/puan sekalian, saya ini sekarang sedang menunggu hari sahaja untuk bersalin anak keempat, jadi segala soal mengemas dan membersihkan persekitaran homestay telah diserahkan kepada insan lain.


Sekian dulu untuk kali ini, jumpa lagi.











Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...