Wednesday, December 28, 2011

Jika baik beritahu kawan...

Salam semua,

           Cuti Krismas yang lalu iaitu 25hb Dis 2011, Homestay De Rasi menerima tetamu dari jauh iaitu dari Batu Pahat. Mereka sekeluarga bercuti di Ipoh ini untuk bertemu dengan kawan lama, katanya dulu sama-sama bekerja di Batu Pahat. Kawan lama mereka ini pula rumahnya selang 2 buah sahaja dengan homestay ini. Hendak dijadikan cerita juga, sebelum ini saya telah bersembang-sembang dengan kawan ini. Kawan inilah yang mempromosikan homestay saya ini kepada rakannya di Batu Pahat itu.


            Mereka itu terdiri dari 3 buah keluarga termasuk sebuah keluarga Melayu menginap di homestay ini untuk tempahan semalam. Sebelum ke homestay mereka bersuka-ria dahulu di Lost World Of Tambun, setelah itu mereka terus menuju ke Homestay De Rasi. Jarak perjalanan dari LWOT ke homestay ini adalah lebih kurang 7 km sahaja, lebih kurang 10 minit sahaja telah sampai.


            Bagaikan orang mengantuk dihulurkan bantal, mereka yang keletihan nampaknya begitu gembira sebaik  memasuki homestay, masing-masing terus mencari bilik yang berkenan di hati masing-masing. Sempat juga En. Pek berbual-bual dengan saya, sambil rakan yang lain memerhatikan kami mengisi Surat Perjanjian Homestay De Rasi ini. Bagi saya, biar ada dokumen hitam putih untuk keyakinan semua tetamu homestay dan juga rujukan di masa akan datang.


            Malam itu dengarnya mereka makan di luar. Datang dari jauh dan pastinya ingin mencuba masakan orang Ipoh pula. Kebanyakan tetamu homestay tidak perlukan dapur, kata mereka sampai di Ipoh ini untuk berjalan-jalan dan merasai makanan di sini. Jika ditanya di mana restoran yang best di sini, saya pasti memberi beberapa nama seperti Restoran Nasi Lemak Ayam Kampung, Restoran Tasik Raban, Restoran Sabar Menanti, Restoran Mee Rebus Ramli, Restoran Simpang Tiga dan tidak lupa, Restoran Rapat Setia.





            Sebut-sebut restoran ini, rasa lapar pula perut saya ini. Belum dikira pasar malam pula, teringat saya dengan tetamu orang Macau dahulu. Mereka pergi ke pasar malam Rapat Setia semata-mata mahu mencari durian dan merasai kelazatan raja segala buah itu. Kami yang menetap di sini mungkin tidak terlalu memikirkannya tetapi bagi mereka, inilah masa yang ditunggu-tunggu. Serupa juga dengan kita apabila melancong ke tempat orang, ingin merasai kelainan iaitu perkara atau benda yang tiada di tempat kita.


Sampai di sini dahulu, jumpa lagi.


''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "


 

Thursday, December 15, 2011

Peristiwa Jam 3 pagi

Salam semua,

                Pada 11hb yang lalu, Homestay De Rasi menerima tetamu dari Batu Pahat Johor. Kami, suami isteri mengambil mereka di Tol Ipoh Selatan dan terus membawa mereka ke homestay. Dengan berkonvoi 3 buah kereta, tentunya kami tiada masalah untuk menuju ke homestay kerana dari kawasan tol itu hanya 2 minit sahaja. Dan ini juga keistimewaan kawasan homestay ini, sangat berdekatan dengan kawasan tol, jika mahu keluar ke utara hanya lalu susur keluar sahaja, dan jika mahu ke selatan, hanya keluar ikut pekan Tambun.


                Berbalik kepada tetamu saya ini, sebuah keluarga mahu pulang ke utara dahulu dan kembali semula ke Ipoh. Maka kami lakarkan peta untuk mereka keluar dari Ipoh dan masuk semula ke Ipoh, paling senang ikut papan tanda Lost World Of Tambun. Sebut LWOT, sebenarnya macam-macam ada di sana, tuan/puan bolehlah membawa anak-anak ke sana bila cuti sekolah nanti. Jika berhajat berkunjung ke sini, datanglah awal sedikit, boleh lama berendam dalam air. Kami telah sampai, kalian bila lagi?







                   Kumpulan tetamu ini menempah homestay untuk tempoh semalam. Masuk 11hb Dis dan keluar pada 12hb Dis 2011. Malam itu, lebih kurang pukul 3.30 pagi, seorang kakak yang menginap di situ menelefon saya bertanyakan minyak gamat. Katanya gigi seorang kakak di situ berdarah. Saya yang mamai-mamai mencari minyak gamat, jumpa tetapi malang seribu kali malang tarikh luput (Exp Date) minyak gamat itu ialah pada 31hb Dis 2010. Sudah lewat setahun, otak saya ligat berfikir, jika diberi takut-takut sakit giginya makin mudarat. Saya terangkan semuanya kepada kakak itu dan dia nampaknya memahami situasi saya.

                 Setelah itu kami masih bersms bertanyakan semula keadaan gigi kakak tersebut. Katanya sudah semakin ok, jika masih teruk saya bercadang membawanya ke hospital. Selepas itu mata saya semacam 'kebal', tidak boleh tidur sehingga ke pagi. Tengahari ini kunci homestay diserahkan oleh saudara mereka kepada suami saya tanpa sempat saya melihat kakak yang sakit gigi pagi itu. Terkilan juga rasanya, tetapi doa saya moga kakak itu cepat sembuh dari kesakitannya.

               Begitulah kisah saya bersama tetamu Homestay De Rasi ini, kami suami isteri amat mengalu-alukan kedatangan semua tetamu kami. Kami sedaya upaya memastikan kebersihan, kekemasan dan keselamatan homestay kami ini diyakini oleh tetamu homestay. Terima kasih juga buat tetamu yang begitu memberi kepercayaan dan kerjasama kepada kami selama ini.


Sekian, jumpa lagi.

 

''KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "



 

Saturday, December 10, 2011

Tetamu Mengejut..



Salam semua...

            Pada 8hb. Disember yang lalu, dalam anggaran 4.30 petang saya mendapat panggilan telefon menanyakan kekosongan homestay pada malam itu. Saya terus menyatakan bahawa malam itu tiada tempahan tetamu. Pemanggil ini terus menyatakan hasratnya untuk menempah homestay pada malam itu dan saya berterus-terang dengannya yang saya amat keberatan untuk menerima tetamu yang datang 'mengejut' ini. Bincang punya bincang, pujuk demi pujuk dan akhirnya saya mengalah. Hati kecil saya berbisik, demi membantu sesama insan, petang ini masa dia, entah petang bila nanti saya akan meminta bantuan orang lain pula. Moga pada waktu itu ada insan lain pula yang sudi menolong saya yang mungkin dalam kesusahan.


             Dalam pukul 6 petang itu, saya terus ke homestay untuk memasang sarung bantal dan cadar. Semasa 'bersilat-silat' atas katil itu kedengaran tetamu memberi salam di luar homestay. Rasa terhenti sejenak denyutan jantung saya, terus 'melompat' ke ruang tamu homestay dan terus mempersilakan semua tetamu masuk. Alhamdulillah itulah pertemuan pertama saya dengan Pn. Hasnah sekeluarga dan adiknya juga sekeluarga. Mereka ini keletihan mandi-manda di
Lost World Of Tambun, dan esoknya mereka akan bertolak ke Lumut pula.
 

 
 


               Esok paginya dalam pukul 9.00 pagi, mereka bersiap-siap untuk berangkat pulang. Pn. Hasnah memohon bantuan saya untuk membawa adiknya, Pn. Sharmila ke klinik berhampiran untuk membuat pemeriksaan BP (Blood Pressure). Katanya, kepalanya pening dan sakit-sakit, dan doktor juga telah menasihatinya agar setiap hari membuat pemeriksaan BP. Saya telah membawanya ke Klinik Brajan dan setelah itu saya menghantarnya semula ke homestay. Itu sahaja yang mampu saya buat untuk menolongnya dan saya mendoakan agar Pn. Sharmila sihat selalu.

                Begitulah adat menjalankan perkhidmatan homestay ini, saya sentiasa berniat di hati untuk membantu sesama insan. Walaupun penat, saya telan semuanya demi kepuasan tetamu Homestay De Rasi. Bila tetamu melahirkan kegembiraan mereka semasa menginap di sini, maka hilanglah segala penat dan keluh resah jiwa saya. Terima kasih diucapkan dan insyaallah di lain kali kita bertemu lagi.




Sekian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...