Monday, December 27, 2010

Selamat Pengantin Baru Khairulsima

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...

Belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Pengantin Baru, moga berbahagia selalu buat adik Khairulsima Binti Ismail dan suami tercinta dari Taman Rapat Setia Baru, Ipoh. Mereka melangsungkan majlis perkahwinan pada 18 Disember 2010 yang lalu dan menempah Homestay De Rasi untuk 1 malam. Nampaknya ramai pengiring dari pihak lelaki, yang datang menaiki 6 buah kenderaan.

Terima kasih juga kerana malam-malam datang ke rumah saya menghantar cenderamata perkahwinan mereka, siap beri 2 buah beg lagi. Sempat lagi waktu itu saya menceritakan 'kesedihan' alah saya ini. Harapnya Sima nanti tidaklah sampai 'senazak' saya ini. Bukan apa tuan/puan sekelian, saya masuk Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh selama 2 malam (21 Dis- 23 Dis) dan dimasukkan 'air' sebanyak 10 botol dan 4 kali dicucuk ubat tahan muntah. Seksa...seksa...ini baru di dunia.

Pada 25 Disember pula, Pn. Halimatun mengambil kunci homestay dan beliau menempah untuk semalam. Katanya untuk majlis perkahwinan anak lelakinya yang diadakan di Carsem. Tahniah buat Pn. kerana menerima menantu perempuan, bolehlah buat kawan bersembang-sembang di dapur.

Sekian untuk kali ini, minggu depan pula saya menunggu tetamu dari Pn. Hjh. Endon Bt. Ismail. Dengar ceritanya tetamu homestay saya kali ini dari Singapura. Tunggu.....


"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI" 

Thursday, December 9, 2010

Tempahan Bulan Disember 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana agak lama tidak up-date blog ini. Alasannya mungkin saya agak kekalutan masuk semester baru sistem politeknik Malaysia. Walaupun blog tidak up-date tetapi talian tel 013-3923739 sentiasa bersedia menjawab panggilan anda sekalian.

Sepanjang minggu pertama bulan Disember ini banyak panggilan bertanyakan berkenaan dengan tempahan dalam bulan Disember ini. Saya sekali lagi memohon maaf kepada pemanggil-pemanggil yang 'kecewa' kerana tempahan Homestay De Rasi untuk bulan Disember ini telah penuh. Berikut adalah tempahannya:

1.    2/12 hingga 3/12 ( tempahan 1 malam)
2.    10/12 hingga 12/12 ( tempahan 2 malam)
3.    17/12 hingga 18/12 ( tempahan 1 malam)
4.    25/12 hingga 26/12 (tempahan 1 malam)
5.    30/12 hingga 2/1/2011 (tempahan 3 malam)

Tetamu pertama bulan Disember ini ialah En. Chandra sekeluarga dari Taiping. Mereka juga disertai dengan 2 buah keluarga rakannya iaitu sebuah keluarga dari KL dan sebuah keluarga lagi dari Pulau Pinang. Dengan bilangan tetamu seramai 12 orang itu, saya yakin kemudahan homestay ini mencukupi untuk keperluan mereka. Harapan saya juga moga mereka gembira bertamu di sini.

Agak kelakar juga mendengar rancangan mereka untuk bermalam di homestay, hanya berborak-borak, anak-anak bermain PS2 dengan cara disambung ke TV 29'', bermain catur dan keluar makan malam. Katanya mereka akan berkumpul sebegini 2 kali dalam setahun. Best juga cadangan ini, tujuannya untuk merapatkan hubungan persaudaraan sesama mereka.

Untuk tetamu yang lain juga, saya di sini menunggu kedatangan kalian. Esok tetamu saya mungkin kenalan Datuk Ahmad Daud akan bertandang ke homestay, katanya untuk majlis pertunangan anak Datuk. Ok, kita jumpa di homestay.

Sekian, terima kasih.

Saturday, November 27, 2010

Tetamu Malam

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Pertama kalinya Homestay De Rasi, Ampang ini menerima tetamu malam, oohh...maksud saya tetamu yang sampai pada waktu malam. Memperkenalkan diri sebagai En Zul, mereka bertolak dari KL lebih kurang pukul 10.00 malam dan sampai di Susur Keluar Tambun, Ipoh ini anggaran 12.20 malam. Saya terus arahkan En. Zul ke GiantTambun dan tunggu di situ, suami saya akan menjemput mereka dan bawa terus ke homestay.

Alhamdulillah segalanya selamat dan teratur seperti yang diharapkan. Sampai di perkarangan homestay terus saya membuka pagar supaya En. Zul boleh parking kenderaannya, Honda CRV dengan selamat. Selepas itu pula kami mengisi borang Perjanjian Penyewaan Homestay De Rasi, Ampang Ipoh Perak ini. Agak melecehkan tetapi demi kebaikan kedua-dua belah pihak iaitu saya sebagai Tuan Rumah dan penyewa homestay sebagai Tetamu saya. Saya cuba melakukan yang terbaik demi mengalu-alukan kedatangan semua tetamu saya.

Terima kasih buat En. Zul, isteri dan anak perempuannya yang berusia 2 tahun (comel dan manja) di atas kehadiran kalian ke Homestay De Rasi. Katanya hari ini akan ada lagi saudara-maranya yang akan bertandang ke homestay ini. Abang kepada En. Zul iaitu En. Hasrol akan bergelar Raja Sehari pada hari Ahad ini. Tahniah dan Selamat Pengantin Baru buat En. Hasrol, moga berbahagia hingga ke akhir hayat...Aminnn.

Juga ucapan terima kasih dan sayang buat suamiku tercinta, juga bernama En. Dzul atas bantuan, sokongan dan pandangannya kepada saya, al-maklumlah saya sekarang ini tengah pening-pening lalat, meloya dan rasa lemah-lemah semacam, hehehe...baru hendak masuk 2 bulan untuk anak yang keempat, insyaallah. Kalian doakanlah yang terbaik untuk saya mengharungi perjalanan 9 bulan yang mencabar ini.

Sekian, jumpa lagi.

Wednesday, November 24, 2010

Menginap di Homestay Sempena Cuti-cuti Malaysia

Salam sejahtera semua...

Anggaran pukul 2.00 petang semalam, keluarga En. Junaidi bersedia untuk check-out (hehehe...macam hotel pula). Mereka menginap di homestay selama 2 malam. Sempena cuti sekolah ini mereka Cuti-cuti Malaysia ke Lost World Of Tambun. Best, memang best sampai tidak mahu balik, kata saudara En. Junaidi kepada saya mengenangkan gelagat anak-anaknya.

Selepas ini mereka akan berkonvoi pula ke KL dan doa saya moga mereka selamat sampai ke destinasi yang dituju. Juga harapan saya mereka berpuas hati menginap di Homestay De Rasi, Ampang Ipoh ini. Jika Baik Beritahu Kawan, Jika Tidak Beritahu Kami.

Orang rumah En. Junaidi mempunyai sebuah blog yang menarik, jika saudara/saudari berminat dengan pinggan-mangkuk lama bolehlah layari blognya.
 http://saidahipoh.blogspot.com/

Petang Jumaat nanti saya menunggu kehadiran tetamu dari jauh, keluarga En. Hasrol dari KL. Semoga mereka selamat sampai di Homestay De Rasi. Senang sahaja jika mereka melalui Highway Plus Utara-Selatan, keluar ikut Tol Ipoh Selatan. Tidak sampai 2 minit sampai di homestay ini.

Sekian, jumpa lagi.

Friday, November 19, 2010

Selamat Pengantin Baru Nadia

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..

Apa khabar kalian, moga sihat dan berbahagia hendaknya. Tidak terlambat jika saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha untuk yang bergelar Muslim. Tentunya kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail menyentuh perasaan kita semua. Bagi yang telah menunaikan ibadah Haji pasti dapat mengimbas kembali sejarah ini.

Di sini juga saya mengucapkan Selamat Pengantin Baru buat Zyadatul Nadia Binti Zainudin dan suami dari Taman Ipoh Jaya, Ipoh. Mereka diijabkabul selepas Asar tadi. Doa saya hendaknya Nadia berbahagia sehingga ke anak cucu dan selagi nyawa dikandung badan. Kebahagiaan ini satu anugerah Ilahi, sentiasa berdoa dan berusaha untuk mencapainya.

Nadia menempah Homestay De Rasi untuk 2 malam, khas untuk keluarga kakak dan abang. Mereka telah berkeluarga dan lebih selesa bermalam di homestay. Mungkin sudah menjadi kebiasaan sekarang ini, jika ada sebarang majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, lebih mudah menginap di homestay. Dapat berkumpul sesama sanak-saudara dengan aman dan damai. Tidak perlu lagi berhimpit-himpit hendak melelapkan mata serta berbaris panjang jika untuk menunaikan 'hajat' atau pun mandi. Semuanya tersedia di homestay, bagi Homestay De Rasi pula dengan 4 buah bilik tidur dan 4 bilik air serta kawasan dalamnya yang luas, saya yakin tentunya tetamu akan selesa.

Pagi tadi juga saya menerima tempahan untuk 3 malam bermula pada 30 Disember 2010 hingga 2 Januari 2011. Tetamu saya ini terus membayar deposit setelah melawat ruang atas dan bawah Homestay De Rasi. Saya pasti mereka berpuas hati dengan semua kemudahan yang disediakan dan ada memberi cadangan agar meletakkan sebuah mikrowave untuk kegunaan tetamu memanaskan makanan. Ini kerana Homestay De Rasi tidak menyediakan dapur untuk memasak, dan alasan saya atas perkara ini tentunya untuk keselesaan tetamu juga.

Untuk itu jika saudara-saudari berminat untuk menginap di sini, di Homestay De Rasi, saya selaku Tuan Rumah sangat mengalu-alukan kedatangan kalian, lihat dahulu sebelum membuat keputusan. Sila hubungi talian 013-3923739 untuk melawat dan menetapkan tempahan anda di Homestay De Rasi, Ampang Ipoh Perak.

Sekian, jumpa lagi.

Friday, October 22, 2010

Selamat Pengantin Baru

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Saya mengucapkan Selamat Pengantin Baru buat Miss Choo dan suami. Mereka mengadakan Majlis Perkahwinan sebelah pihak perempuan di Ampang, Ipoh pada 17hb Oktober 2010 yang lalu. Homestay De Rasi menjadi pilihan sebagai tempat penginapan untuk keluarga adik-beradik pengantin lelaki dari Jasin, Melaka.

Sehari sebelum tetamu sampai, Miss Choo menghubungi saya bertanyakan bilangan selimut dan bantal, maklumlah tetamu dari jauh dan mempunyai enam orang tetamu kecil iaitu kanak-kanak. Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, insyaallah homestay ini sangat selesa dan terbaik untuk 4 buah keluarga (anggaran 15 ke 20 orang tiada masalah). Ditambah lagi dengan 2 buah Toto yang gebu dan bersih, pastinya tidur mereka dibuai mimpi-mimpi indah.

Selain bantal, selimut dan Toto, Homestay De Rasi juga menyediakan 3 helai sejadah untuk Muslim menunaikan solat. Tanda kiblat diletakkan di ruang keluarga. Tidak ketinggalan sabun May di setiap bilik airnya untuk kemudahan para tetamu homestay. Perkhidmatan di homestay ini hampir menyamai kemudahan di hotel tetapi bayaran sewa di sini amat berpatutan. Dengan kadar sewa RM250 semalam, kemudahan Homestay De Rasi ini mampu dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat Malaysia.

Jumpa lagi.

"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"

Tuesday, October 19, 2010

Kemudahan Tetamu

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Di sini saya sertakan lagi gambar-gambar kemudahan yang terdapat di Homestay De Rasi, Ampang Ipoh Perak. Semuanya untuk kegunaan dan keselesaan tetamu semasa menginap di sini.


Tikar plastik sedia untuk dihamparkan, tempat simpanannya di belakang pintu Bilik Kenanga (bilik bawah).

Saya sediakan 2 helai, sehelai mempunyai 2 keping dan sehelai lagi mempunyai 3 keping. Selesa, memang selesa jika dibentangkan di kawasan dapur. Makan-makan sambil bersembang sesama saudara-mara, meriah gituuuu...


Homestay De Rasi juga menyediakan 2 buah Toto untuk kemudahan tetamunya. Toto ini disimpan di dalam almari di Bilik Mawar dan Melor. Setakat ini 12 biji bantal dan 8 helai selimut disediakan di sini termasuk 2 buah Comforter.

Jadi jika bilangan tetamu melebihi 10 orang, termasuklah kanak-kanak tidak menjadi masalah untuk tidur dan berehat dengan selesa dan nyaman. Jika diperlukan Toto lagi pun boleh disediakan dengan bayaran RM20.00 sebuah. Sila tempah awal ya...


Mesin basuh automatik LG 6.5KG. Tempatnya di bahagian belakang rumah (bahagian berbumbung), belakang Bilik Kenanga. Hanya masukkan kain baju tetamu dan tekan sahaja suis ON dan START, segalanya selesai anggaran dalam tempoh 45 minit. Setakat ini serbuk pencuci disediakan, selagi stok masih ada.




Tuan/puan sekalian,
Kadar sewaan masih dikekalkan iaitu RM250.00 untuk semalam walaupun musim cuti sekolah. Sila buat tempahan awal untuk jaminan tempat anda sekeluarga berehat dan bermalam sebelum atau selepas menghadiri majlis perkahwinan dan sebagainya.

Sila hubungi 013-3923739 jika tuan/puan berhajat untuk menginap di Homestay De Rasi, Ampang Ipoh Perak.

Sekian.

" KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"

Monday, October 11, 2010

Kerja Gila...

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Ucapan ini saya tujukan kepada semua tetamu dan bakal-bakal tetamu Homestay De Rasi, Ampang Ipoh Perak. Moga kalian tidak kiralah yang dari jauh atau dekat dengan kawasan Ipoh ini saya doakan kesejahteraan dan kebahagiaan semua.

Semalam Ahad, anggaran 5.30 petang tetamu saya, En Chris Ng dan dua orang rakannya dari Pulau Mutiara berangkat pulang. Mereka sampai di Ipoh ini pada petang Sabtu dan terus menginap di Homestay De Rasi. Tujuan kedatangan mereka bertiga ke Ipoh ini adalah untuk mengayuh basikal dari Simpang Pulai ke Cameron Highland. Benar!!... mereka akan berbasikal dari Homestay De Rasi ke pekan Simpang Pulai dan terus naik ke Cameron Highland. Itulah namanya kerja gila...(hehehe...saya hanya mengambil kata-kata Pn Ginn). Memang gila, bayangkan betapa tersiksanya kaki untuk mengayuh basikal ke kawasan pergunungan itu. Tapi sebenarnya mereka ada pertandingan mengayuh basikal dari pekan Simpang Pulai ke Cameron Highland.

Menyebut perkataan Kerja Gila, mungkin itu ungkapan kita yang tidak biasa dengan aktiviti berbasikal ini, tetapi bagi peminatnya, ramai peminat aktiviti berbasikal di luar sana yang menyimpan keinginan untuk menakluk Jalan Simpang Pulai - Cameron Highland ini. Jika berjaya terasa kepuasan yang tak terhingga, walaupun muka merah menyala macam udang kena bakar dan lutut berdarah, semua itu bukan halangan bagi mereka. Teringat masa saya muda-muda dahulu, saya minat mendaki gunung...hehehe, lagi kerja gila....

Apapun ucapan tahniah buat En Chris Ng dan rakan-rakannya di atas pencapaian mereka. Bagi saya, mereka selesa menginap di Homestay De Rasi itu sudah mencukupi dan sangat memadai, moga-moga di lain kali mereka singgah lagi.

Sampai di sini dahulu, jumpa lagi di lain kesempatan. Saya suka hendak bercerita bahawa basikal En Chris dan rakan-rakannya hebat, sesuai untuk pengayuh basikal tegar. Bukan apa, harga dua buah basikal itu hampir RM20,000, tuan/puan bayangkan sahajalah. Masa mereka sampai terlupa pula saya membawa kamera, jika tidak boleh kita berkongsi gambar basikal itu bersama tuan/puan sekalian.

Jumpa lagi.

" KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"

Saturday, September 18, 2010

Gambar-gambar Terbaru

Salam sejahtera semua...

Di sini saya masukkan gambar-gambar terkini Homestay De Rasi untuk tatapan semua.




Thursday, September 16, 2010

Kebesaran Ilahi

Salam saudara/ri sekalian. Apa khabar semua? Harapan saya moga saudara/ri sentiasa sihat dan ceria-ceria selalu. Sebelum itu suka juga diingatkan agar  saudara/ri cerewet sedikit memilih makanan sempena Aidilfitri ini, lebih-lebih lagi selepas ini tentu ramai yang menghadiri rumah terbuka. Bukan apa, sebulan berpuasa dapat juga kurang 4kg atau 5kg berat badan...tup-tup 2 minggu sahaja naik mendadak 10kg..hehehehe....

Tengahari tadi kami suami isteri memenuhi undangan majlis perkahwinan di antara Muhammad Izwan Bin Zainal Abidin dengan pasangannya Hanan Binti Samsudin @Yasin di Persiaran Halaman Ampang 10, Halaman Ampang Mewah, Ipoh. Meriah, ceria dengan tema warna ungu, kelas gitu!!!!! Saudara/ri, di sinilah Kebesaran Ilahinya berlaku...ayah pengantin lelaki, En Zainal Abidin itu adalah IDOLA kami...begitu lama kami memerhatikan En Zainal ini....segalanya hanya di jalanraya sahaja. Akhirnya kami tahu di situlah kediamannya dan dapat mengenali ahli keluarga En Zainal Abidin.

Sebelum itu, malam tadi lebih kurang 8.30 malam keluarga pengantin sebelah perempuan dari Terengganu selamat sampai di Homestay De Rasi untuk tempahan semalam. Tanpa disangka mereka memohon untuk menginap di homestay lagi semalam, nasib baik tetamu seterusnya akan masuk pada petang Jumaat, maka dapatlah dipenuhi permintaan mereka itu. Syukur alhamdulillah atas rezeki kurnian Ilahi ini...(kenalah saya minim Milo banyak sikit ini untuk tambah tenaga...untuk apa? tambah tenaga...ya, tambah tenaga untuk mengemas homestay pagi Jumaat nanti, hehehe.....)

Menyentuh hal mengemas homestay, segalanya saya buat sendiri. Dari menyapu sampah dan sawang, mengemop lantai hingga bersih dan berkilat, menukar cadar dan sarung bantal serta mengelap habuk..segalanya demi kepuasan dan keselesaan tetamu homestay. Sesuai sangat dengan motto Homestay De Rasi iaitu Keselesaan Anda Keutamaan Kami.

Sampai di sini dulu untuk kali ini, jumpa lagi di lain kesempatan.

Sekian.
 

Wednesday, September 8, 2010

Kemaskini Tempahan Bulan September 2010

Salam sejahtera buat semua tetamu dan bakal tetamu Homestay De Rasi, Ipoh, Perak. Harapan saya agar tuan/puan sekeluarga sentiasa sihat dan ceria disamping keluarga tersayang, lebih-lebih lagi sempena Syawal yang bakal tiba 2 hari lagi, insyaallah...

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin. Untuk pengetahuan semua, inilah raya Aidilfitri pertama kali dalam sejarah hidup, saya tidak pulang ke kampung saya mahupun sebelah suami...semuanya kerana tetamu Homestay De Rasi....tidak mengapalah, asalkan tetamu gembira saya bahagia...

Berikut hari-hari tempahan bulan September 2010:

1. 10 Sept. hingga 11 Sept. ( 1 malam )

2. 11 Sept. hingga 13 Sept. ( 2 malam )

3. 15 Sept. hingga 16 Sept. ( 1 malam )

4. 17 Sept. hingga 19 Sept. ( 2 malam )


Tempahan untuk bulan Oktober, November dan Disember 2010 masih dibuka dan kadar sewaan juga masih dikekalkan pada harga semasa iaitu RM250.00 semalam. Saya nyatakan di sini kerana ada bakal tetamu yang menanyakan kadar sewaan pada waktu puncak iaitu hujung minggu mahupun cuti sekolah. Bukan salah mereka bertanya kerana selalunya kebanyakan hotel-hotel di kawasan Ipoh ini menaikkan harga pada waktu-waktu tersebut.

Untuk tempahan Homestay De Rasi, sebaiknya bakal tetamu menyatakan jumlah sebenar ahli keluarga yang akan hadir atau bermalam di sini. Ini kerana saya sedaya-upaya menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk semua tetamu tidak kiralah mereka yang dewasa mahupun kanak-kanak. Contoh paling senang untuk difahami adalah jika jumlah kanak-kanak adalah 3 orang, maka saya akan menyediakan sebuah Toto untuk kemudahan mereka, jika lebih dari itu mungkin disediakan 2 buah Toto, selesa untuk bergolek-golek atau membuat kuak kupu-kupu terlentang...hehhehh...

Sekian untuk kali ini, keluaran akan datang saya akan postkan gambar-gambar set cadar baru, Romantika...from Kuala Kangsar, tungggguuuuu....


Sebarang pertanyaan boleh hubungi 013-3923739.

Terima kasih.

Monday, August 9, 2010

Tempahan Awal Lagi Baik



Semua bakal tetamu Homestay De Rasi dicadangkan supaya membuat tempahan awal sekurang-kurangnya DUA (2) minggu (14 hari) LEBIH AWAL dari tarikh/hari untuk menginap di sini. Ini adalah untuk mengelakkan anda dari rasa kehampaan serta kekecewaan kerana homestay telah penuh atau telah ditempah oleh orang lain.

Semasa tempahan bakal tetamu perlu membayar DEPOSIT seminima RM50.OO sahaja, jika lebih pun saya akan terima. Deposit boleh dibayar terus kepada Tuan Rumah atau bank-in. Jadi tetamu hanya menjelaskan BAKI bayaran sebelum diberi kunci homestay.

Suka diingatkan juga, semasa tempahan bakal tetamu perlu memaklumkan hari/tarikh/berapa malam untuk menginap di homestay, beberapa data peribadi dan keluarga akan diambil untuk makluman Tuan Rumah.

Terdapat juga beberapa peraturan yang telah ditetapkan untuk semua tetamu Homestay De Rasi, Taman Rasi Ampang, Ipoh Perak. Peraturan ini akan diberi semasa tetamu menandatangani surat perjanjian di antara Tuan Rumah dan Tetamu.



Sekain, terima kasih.

Wednesday, July 28, 2010

Buah tangan dari Tetamu

Pada 20 Julai hingga 22 Julai 2010, Homestay De Rasi menerima tetamu dari jauh, dari Terengganu dan Perlis. Tempahan untuk 2 malam, alhamdulillah segalanya berjalan lancar...



Sila layari http://www.iedaluvsham.com/2010/.../homestay-de-rasi-ampang-ipoh.html
atau
http://www.iedaluvsham.com/2010_07_22_archive.html


Pokok pinang isi keladi...senang-senang singgah ler lagi.




"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"

Monday, July 26, 2010

Gambar-gambar Ruang Keluarga dan Ruang Makan

 
 

Ruang keluarga di tingkat atas, dilengkapi dengan kipas. Disediakan juga saterika untuk kemudahan tetamu menggosok pakaian. Juga 2 helai sejadah untuk kegunaan Tetamu Muslim.






oleh juga tidur atau berehat di ruangan ini.





























Ruang makan dilengkapi dengan meja dan 6 buah kerusi
















Tangga ke tingkat atas (2)






























Bahagian dapur yang luas. Antara peralatan elektrik yang disediakan adalah peti sejuk, pemanas air, pembakar roti dan mesin basuh automatik.










"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI"


 

Thursday, July 1, 2010

Homestay De Rasi, Ampang Ipoh, Perak







Homestay untuk disewa :
‘Homestay De Rasi’

Lokasi: bersebelahan dengan Tol Ipoh Selatan (3 minit sahaja), jika dari selatan (KL) boleh terus keluar mengikut Tol Ipoh Selatan dan untuk ke utara (Pulau Pinang/Kedah) terus keluar dari kawasan tol tanpa dikenakan sebarang bayaran.


Alamat: No 20, Jln Desa Ampang 22, Taman Rasi Ampang, 31350 Ipoh.
Rumah teres mewah 2 tingkat bersaiz 22"X 70" di hadapan padang dan terletak di jalan utama-keluar/masuk Lebuhraya Utara-Selatan, mudah dikunjungi.

Sesuai dan selesa sebagai tempat persinggahan semasa menghadiri sebarang majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis pertunangan, berkursus dan bekerja di bandaraya Ipoh dan sekitarnya untuk tempoh semalam hingga seminggu.

Kemudahan yang disediakan untuk tetamu:
- 4 bilik tidur dilengkapi dengan almari dan 4 bilik air (mempunyai 'water heater'),
- 3 bilik tidur mempunyai penghawa dingin,
- sesuai dan selesa untuk 4 keluarga/8 orang (disediakan 2 buah katil queen dan 4 buah katil single),
- ruang tamu yang luas dilengkapi dengan set sofa dan TV 29 inci,
- ruang parking luas- sesuai untuk 2 buah kereta, jika lebih boleh parking di hadapan padang,
- kelengkapan peralatan elektrik seperti peti sejuk, mesin basuh automatik, pemanas air, pembakar roti dan saterika.

Kadar sewa: RM280 semalam
Jika berminat, sila hubungi 013-3923739 untuk tempahan dan pertanyaan.

Gambar-gambar:






1. Bilik Mawar
= besar, luas dan berpenghawa dingin,
= dilengkapi katil 'queen', meja solek, almari   pakaian dan bilik air persendirian.















2. Bilik Melor
= katil 'queen', almari dan bilik air persendirian,
= berpenghawa dingin








3. Bilik Kekwa
= 2 buah katil 'single' dan bilik air persendiria,
= berpenghawa dingin.







4. Bilik Kenanga
= dilengkapi dengan 2 buah katil 'single', almari dan kipas siling,
= bilik air di bahagian luar,
= sesuai untuk warga tua yang tidak selesa dengan penghawa dingin.









" KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI "




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...