Monday, December 27, 2010

Selamat Pengantin Baru Khairulsima

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...

Belum terlambat rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Pengantin Baru, moga berbahagia selalu buat adik Khairulsima Binti Ismail dan suami tercinta dari Taman Rapat Setia Baru, Ipoh. Mereka melangsungkan majlis perkahwinan pada 18 Disember 2010 yang lalu dan menempah Homestay De Rasi untuk 1 malam. Nampaknya ramai pengiring dari pihak lelaki, yang datang menaiki 6 buah kenderaan.

Terima kasih juga kerana malam-malam datang ke rumah saya menghantar cenderamata perkahwinan mereka, siap beri 2 buah beg lagi. Sempat lagi waktu itu saya menceritakan 'kesedihan' alah saya ini. Harapnya Sima nanti tidaklah sampai 'senazak' saya ini. Bukan apa tuan/puan sekelian, saya masuk Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh selama 2 malam (21 Dis- 23 Dis) dan dimasukkan 'air' sebanyak 10 botol dan 4 kali dicucuk ubat tahan muntah. Seksa...seksa...ini baru di dunia.

Pada 25 Disember pula, Pn. Halimatun mengambil kunci homestay dan beliau menempah untuk semalam. Katanya untuk majlis perkahwinan anak lelakinya yang diadakan di Carsem. Tahniah buat Pn. kerana menerima menantu perempuan, bolehlah buat kawan bersembang-sembang di dapur.

Sekian untuk kali ini, minggu depan pula saya menunggu tetamu dari Pn. Hjh. Endon Bt. Ismail. Dengar ceritanya tetamu homestay saya kali ini dari Singapura. Tunggu.....


"KESELESAAN ANDA KEUTAMAAN KAMI" 

Thursday, December 9, 2010

Tempahan Bulan Disember 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana agak lama tidak up-date blog ini. Alasannya mungkin saya agak kekalutan masuk semester baru sistem politeknik Malaysia. Walaupun blog tidak up-date tetapi talian tel 013-3923739 sentiasa bersedia menjawab panggilan anda sekalian.

Sepanjang minggu pertama bulan Disember ini banyak panggilan bertanyakan berkenaan dengan tempahan dalam bulan Disember ini. Saya sekali lagi memohon maaf kepada pemanggil-pemanggil yang 'kecewa' kerana tempahan Homestay De Rasi untuk bulan Disember ini telah penuh. Berikut adalah tempahannya:

1.    2/12 hingga 3/12 ( tempahan 1 malam)
2.    10/12 hingga 12/12 ( tempahan 2 malam)
3.    17/12 hingga 18/12 ( tempahan 1 malam)
4.    25/12 hingga 26/12 (tempahan 1 malam)
5.    30/12 hingga 2/1/2011 (tempahan 3 malam)

Tetamu pertama bulan Disember ini ialah En. Chandra sekeluarga dari Taiping. Mereka juga disertai dengan 2 buah keluarga rakannya iaitu sebuah keluarga dari KL dan sebuah keluarga lagi dari Pulau Pinang. Dengan bilangan tetamu seramai 12 orang itu, saya yakin kemudahan homestay ini mencukupi untuk keperluan mereka. Harapan saya juga moga mereka gembira bertamu di sini.

Agak kelakar juga mendengar rancangan mereka untuk bermalam di homestay, hanya berborak-borak, anak-anak bermain PS2 dengan cara disambung ke TV 29'', bermain catur dan keluar makan malam. Katanya mereka akan berkumpul sebegini 2 kali dalam setahun. Best juga cadangan ini, tujuannya untuk merapatkan hubungan persaudaraan sesama mereka.

Untuk tetamu yang lain juga, saya di sini menunggu kedatangan kalian. Esok tetamu saya mungkin kenalan Datuk Ahmad Daud akan bertandang ke homestay, katanya untuk majlis pertunangan anak Datuk. Ok, kita jumpa di homestay.

Sekian, terima kasih.

Saturday, November 27, 2010

Tetamu Malam

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Pertama kalinya Homestay De Rasi, Ampang ini menerima tetamu malam, oohh...maksud saya tetamu yang sampai pada waktu malam. Memperkenalkan diri sebagai En Zul, mereka bertolak dari KL lebih kurang pukul 10.00 malam dan sampai di Susur Keluar Tambun, Ipoh ini anggaran 12.20 malam. Saya terus arahkan En. Zul ke GiantTambun dan tunggu di situ, suami saya akan menjemput mereka dan bawa terus ke homestay.

Alhamdulillah segalanya selamat dan teratur seperti yang diharapkan. Sampai di perkarangan homestay terus saya membuka pagar supaya En. Zul boleh parking kenderaannya, Honda CRV dengan selamat. Selepas itu pula kami mengisi borang Perjanjian Penyewaan Homestay De Rasi, Ampang Ipoh Perak ini. Agak melecehkan tetapi demi kebaikan kedua-dua belah pihak iaitu saya sebagai Tuan Rumah dan penyewa homestay sebagai Tetamu saya. Saya cuba melakukan yang terbaik demi mengalu-alukan kedatangan semua tetamu saya.

Terima kasih buat En. Zul, isteri dan anak perempuannya yang berusia 2 tahun (comel dan manja) di atas kehadiran kalian ke Homestay De Rasi. Katanya hari ini akan ada lagi saudara-maranya yang akan bertandang ke homestay ini. Abang kepada En. Zul iaitu En. Hasrol akan bergelar Raja Sehari pada hari Ahad ini. Tahniah dan Selamat Pengantin Baru buat En. Hasrol, moga berbahagia hingga ke akhir hayat...Aminnn.

Juga ucapan terima kasih dan sayang buat suamiku tercinta, juga bernama En. Dzul atas bantuan, sokongan dan pandangannya kepada saya, al-maklumlah saya sekarang ini tengah pening-pening lalat, meloya dan rasa lemah-lemah semacam, hehehe...baru hendak masuk 2 bulan untuk anak yang keempat, insyaallah. Kalian doakanlah yang terbaik untuk saya mengharungi perjalanan 9 bulan yang mencabar ini.

Sekian, jumpa lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...